Tuesday 2 August 2011

Masih ‘tunggu dan lihat’ (2/8/2011)

DUBLIN: Wesley Sneijder kelmarin membiarkan pintu terbuka terhadap kemungkinan perpindahan bernilai 35 juta pound (RM168.9 juta) ke Manchester United. 

Pemain tengah Inter Milan itu begitu kuat dikaitkan dengan perpindahan ke kelab juara Liga Perdana Inggeris (EPL) dan spekulasi berterusan minggu lalu walaupun komen terbaru pengurus United, Sir Alex Ferguson, bahawa kelab itu tidak akan membuat pembelian pemain baru lagi musim panas ini.
Pemain antarabangsa Belanda itu bermain 75 minit ketika kekalahan 3-0 kepada Manchester City dalam perlawanan Piala Super Dublin kelmarin, dan enggan menolak spekulasi bahawa ia mungkin akan berakhir dengan satu lagi kelab di Manchester musim baru ini.


“Sentiasa ada peluang untuk sesuatu itu berlaku, tetapi kita lihat saja,” kata bekas bintang Real Madrid itu. 

“Kita lihat apa yang akan berlaku, namun saya seorang lelaki yang gembira. Sering saja ada spekulasi, setiap tahun. Saya sudah berada pada tahap terbaik sejak 10 tahun dan sentiasa saja ada spekulasi, namun saya menerimanya, saya masih di sini. 

“Saya gembira berlatih setiap hari dengan rakan dan bermain corak permainan saya untuk penonton dan semua di kelab. Kita lihat apa saja perkembangan selepas itu.” 

Bos Inter Milan, Gian Piero Gasperini memberitahu United mereka perlu berunding dengan kelabnya, bukan pemain itu, jika mahu melengkapkan urus niaga berkenaan. 
Gasperini memberi reaksi terhadap komen Ferguson, tetapi kemudian dinafikan pengurus warga Scotland itu kononnya pemain tengah itu diberikan kata dua untuk segera membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak terhadap tawaran Manchester United. 

“Saya hargai jika ada tawaran, tetapi rundingan seharusnya dengan Inter,” kata Gasperini. 

“Saya tidak begitu bimbang. Pasaran terbuka sehingga 31 Ogos dan sehingga itu perkara ini akan terus berlaku. Bukan setakat Inter, ia turut berlaku kepada kelab besar lain yang memilik pemain sasaran kelab besar.” – AFP

No comments:

Post a Comment