Tuesday 2 August 2011

Sertai Universiade. (2/8/2011)

RATU terjun negara, Pandelela Rinong bertekad beraksi di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzhen, China, bulan ini walaupun terpaksa menanggung kesakitan gara-gara kecederaan. 

Namun, perkhabaran berlawanan pula buat jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang disebut akan menarik diri pada temasya pada 12 sehingga 24 Ogos ini bimbang ia akan menjejaskan tumpuan ikon sukan itu ke Sukan Olimpik 2012.
Apapun, Pandelela, 18, yang tercedera di pinggang ketika beraksi pada Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) di Shanghai pada 20 Julai lalu menyuarakan keazaman untuk tetap bersama kontinjen Malaysia ke Shenzen kerana ia adalah penyertaan pertamanya dalam kejohanan itu.


“Saya amat teruja ke sana kerana belum pernah beraksi untuk pasukan negara. Saya harap kesakitan ini tidak mengganggu tumpuan saya. 

“Kesakitan ini memberi kesan hingga di bahagian tengkuk dan merimaskan saya tapi ia semakin baik selepas saya ke Institut Sukan Negara bagi mendapatkan rawatan,” kata penerjun dari Sarawak itu, semalam. 

Sementara itu, difahamkan ketua jurulatih kebangsaan, John Beasly tidak membenarkan Azizul ke temasya di China kerana bimbang akan menjejaskan tumpuan Azizulhasni ke Sukan Olimpik. 

Pengurus skuad berbasikal negara ke Universiade 2011, Zufri Yazid berkata pihaknya bagaimanapun masih belum menggugurkan nama Azizulhasni dalam senarai skuad berbasikal kerana masih menunggu jawapan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). 
“Nama Azizulhasni masih belum digugurkan kerana kita masih mengharapkan bahawa beliau akan dapat bersama kita. 

“Sekiranya beliau tidak dapat mengikuti, kita hanya membuat penarikan diri sebelum kejohanan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment