Saturday 26 November 2011

Dunia baru atlet (27/11/2011)

RABU lalu, Ashley Cole, pertahanan Chelsea dan England bakal berlakon bersama dalam sebuah filem baru bertajuk ‘Played’.
Ia adalah penampilan pertama Cole dalam bidang lakonan, bersama Joe Cole dan Sam Allardyce untuk filem yang mengetengahkan kisah hidup ejen bola sepak, yang dilakonkan oleh Dyer. 
Sebelum Cole, ramai lagi atlet yang beralih arah dari bidang sukan ke bidang lakonan, malah mencipta kejayaan dalam dunia baru mereka.
Johnny Weissmuller 
Lelaki yang sinonim dengan watak Tarzan melakarkan karier cemerlang sebagai perenang dengan memenangi lima pingat emas Olimpik dan mencatatkan 67 rekod dunia di dalam sukan itu pada 1920-an sebelum berpindah ke Hollywwod.

Dia mencatatkan rekod dunia pertama pada usia 17 tahun dan menang tiga pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 1924 dengan kejayaan dalam acara 100m dan 400m gaya bebas dan 800m gaya bebas berganti-ganti.

Weissmuller kemudiannya menang dua lagi pingat emas di Amsterdam empat tahun kemudian. Susuk tubuh yang sasa membolehkannya memegang watak sebagai wira hutan itu dan filem pertamanya adalah ‘Tarzan, the Ape Man’ pada 1932, sebelum berlakon 11 lagi filem lanjutan dalam francais berkenaan.


OJ Simpson

OJ Simpson yang kini dikenali dengan perbicaraan yang menarik perhatian seluruh Amerika Syarikat, bermula sebagai pemain football Amerika sebelum beralih ke bidang perfileman. Dia menyertai pasukan Buffalo Bills dan San Francisco 49ers dan disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran Bola Sepak Amerika pada 1985.

Bagaimanapun dia sudah pun menunjukkan minat sebagai bintang Hollywood, menerusi kemunculan dalam filem ‘The Towering Inferno’ pada 1974 dan beberapa filem lain sebelum memegang watak Detektif Nordberg dalam ‘The Naked Gun’.


Vinnie Jones

Sebagai ketua kepada ‘Wimbledon Crazy Gang’ yang menewaskan Liverpool dalam final Piala FA 1988, Jones meraih reputasi sebagai seorang yang keras kepala ketika beraksi dengan kelab London iaitu Wimbledon, Leeds United, Sheffield United, Chelsea, Wimbledon sekali lagi dan Queens Park Rangers.

Dia dilayangkan 12 kad merah sepanjang kariernya dan pernah menerima kad kuning hanya selepas tiga saat permainan pada 1992.

Pada 1998, dia memegang watak sebagai Big Chris dalam filem Guy Ritchie, ‘Lock, Stock and Two Smoking Barrels’, yang membawanya ke puncak populariti di Hollywood menerusi filem seperti ‘Swordfish’, ‘EuroTrip’, ‘Mean Machine’ dan ‘X-Men: The Last Stand’.


Kareem Abdul-Jabbar

Sebagai bintang bola keranjang sejati, Kareem kekal sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah NBA dengan 38,387 mata daripada 1,560 perlawanan. Dia memenangi enam kejohanan, mewakili Milwaukee Bucks dan Los Angeles Lakers, sebelum bersara pada akhir musim 1988-89 dengan statistik yang sukar diatasi.

Bagaimanapun, bagi peminat komedi Hollywood, dia pasti diingati sebagai Roger Murdock dalam filem ‘Airplane!’.


Eric Cantona

Pemain yang dikenali sebagai King Eric di Old Trafford sering dikaitkan dengan drama. Sama ada ketika melakukan sepakan kung-fu terhadap penyokong Crystal Palace atau mengelirukan wartawan dengan kisah camar dan bot pukat tunda.,
penyerang Perancis itu cukup menyerlah sepanjang kariernya, selain berjaya memenangi empat gelaran Liga Perdana Inggeris dan dua Piala FA bersama Manchester United.

Dia turut prolifik dalam dunia perfileman, berlakon dalam banyak filem Perancis dan beberapa filem Inggeris seperti ‘Looking for Eric’ pada 2009, manakala watak utamanya adalah sebagai Monsieur de Foix dalam filem ‘Elizabeth’ pada 1998, bersama Cate Blanchett yang memegang watak Ratu Elizabeth.


Mike Tyson

Tyson, jaguh tinju ini adalah juara termuda heavyweight dunia pada 1986, selepas menewaskan Trevor Berbick pada usia 20 tahun dan menjadi antara peninju paling digeruni sepanjang zaman, biarpun pernah dipenjara kerana merogol tapi itu tidak menghalangnya beraksi di Hollywood apabila bekas peninju itu membuat penampilan istimewa dalam filem ‘The Hangover’ pada 2009.


Arnold Schwarzenegger

Sebagai bintang aksi paling dikenali dalam sejarah Hollywood, filem hebat Arnie termasuklah ‘The Terminator’, ‘Predator’, ‘Total Recall’ dan ‘True Lies’.
Kecemerlangan kariernya dalam perfileman turut membolehkannya menjadi gabenor California, tetapi dia mencipta nama lebih dahulu dalam bina badan di Amerika Syarikat sebelum menceburi bidang perfileman dan politik.

Sebagai pemenang Mr Universe, Schwarzenegger adalah antara jaguh bina badan terhebat dan pernah memenangi pingat dalam angkat berat di awal kariernya.

No comments:

Post a Comment