Wednesday 9 November 2011

Zul, Khairul sandaran emas ‘wall climbing’ (10/11/2011)

SUKAN memanjat dinding (wall climbing) optimis membawa pulang dua emas dari temasya Sukan Sea Jakarta/Palembang biarpun acara itu baru kali pertama dianjurkan.
Berbekalkan 11 atlet sukan lasak yang berpengalaman, pengurus Zulfakar Belian yakin atletnya tiada masalah untuk membantu pungutan pingat kontinjen negara.

“Sukan ini baru untuk temasya ini tapi sudah lama dipertandingkan di kejohanan sukan lasak serantau. Harapan terbaik kita pastinya menerusi Zul Fadzli Shafie dan Khairul Hafiz Abu Hassan,” kata Zulfakar.
Zul Fadzli yang beraksi dalam kategori Lead adalah antara peserta terbaik di Asia dalam acara terbabit manakala Khairul pula akan memburu emas dalam acara Boulder meskipun dia turut beraksi dalam acara Speed.

“Acara Speed terlalu sukar untuk kita dapatkan emas kerana atlet Indonesia terlalu kuat dan pantas,” kata jurulatih Norzaharatullaili Mustafa yang juga atlet memanjat dinding negara.

Skuad memanjat dinding negara sudah berpengalaman selama 10 tahun, menjalani latihan di Putrajaya.

Meskipun buruan emas tertumpu kepada Zul Fadzli dan Khairul Hafiz, Hafzanizam Bakhori juga dilihat berkemampuan menambah koleksi pingat negara dalam acara Boulder dan Lead.

No comments:

Post a Comment