Friday, 11 November 2011

Yakin emas dalam tangan (12/11/2011)

JAGUH jalan kaki negara Teoh Boon Lim yakin pingat emas 20km jalan kaki akan terus menjadi milik negara tahun ini.
Menurut atlet veteran berusia 34 tahun itu, pencabar dari negara Asia Tenggara lain terlalu jauh di belakang untuk mencabar pingat yang sudah awal-awal lagi milik Malaysia.

“Saya tidak berani untuk katakan saya akan menang emas tapi saya pasti acara ini milik Malaysia,” katanya yang akan mengambil bahagian dalam acara 20km jalan kaki bersama Lo Choon Sieng.
Boon Lim beraksi di Sukan Sea sejak 1997 sudah tiga kali dikalungkan emas ke lehernya namun acara itu tidak dipertandingkan di Laos dua tahun lalu.

Meskipun tidak banyak kejohanan disertai menjelang Sukan Sea di Palembang ini, Boon Lim tetap yakin dengan kemampuannya dan juga Choon Sieng.

Namun dia merasa kurang selesa dengan penganjur yang sering menukar jadual pertandingan dan gagal menetapkan trek perlumbaan sama ada dalam stadium atau di trek jalan raya.

“Ketika ini saya hanya menjalani latihan di stadium dan juga jalan raya. Tapi saya harap trek jalan raya yang ada kawasan tidak berturap diperkemas dan diratakan petang ini (semalam),” katanya sambil mengesahkan hanya akan tahu trek perlumbaan pada malam sebelum pertandingan hari ini.

Boon Lim atau Choon Sieng dijangka menjadi penyumbang pingat emas pertama negara hari ini namun penganjur menukar jadual pertandingan dan menunda acara itu kepada esok.

No comments:

Post a Comment