Wednesday, 9 November 2011

Wan Nin tarik diri (10/11/2011)

SATU pingat emas bakal terlepas daripada genggaman kontinjen negara pada Sukan Sea kali ini apabila gimnas elit, Lee Wan Nin disahkan mengalami kecederaan sekali gus terpaksa menarik diri saat akhir.
Atlet tunggal gimrama itu mengalami kecederaan apabila tempurung lututnya terkeluar ketika menjalani latihan balet di Kuala Lumpur kelmarin dan terpaksa melupakan aksi pada temasya Sukan Sea.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong di Jakarta, semalam.
“Kami mendapat laporan Wan Nin mengalami kecederaan tempurung lututnya terkeluar ketika menjalani latihan balet. Ini satu kehilangan kerana kami mengharapkan dia mampu menyumbang satu pingat emas buat kontinjen negara.

“Perkara seperti ini tidak dapat dielakkan dan saya sudah berkali-kali mengingatkan atlet supaya menjaga kecergasan dan kesihatan sebelum bertanding.

“Saya harap Wan Nin boleh segera pulih kerana dia akan berdepan satu kejohanan penting bagi kelayakan ke Sukan Olimpik tahun depan,” katanya.

Di sebalik ketiadaan Wan Nin, Zolkples menganggap ia tidak akan menjejaskan sasaran MSN antara 40 hingga 45 pingat emas kerana yakin ada atlet lain boleh melakar kejutan.

No comments:

Post a Comment