Thursday 10 November 2011

Wajib jinak India (11/11/2011)

MESEJ dari ketua jurulatih skuad Projek 2013, Mohd Dharma Abdullah untuk anak buahnya cukup jelas - mereka mesti menewaskan India pada aksi terakhir peringkat awal Kejohanan Hoki Bawah 21 merebut Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, malam ini.
Pertembungan barisan muda negara dan India seharusnya menerbitkan kemenangan buat skuad negara yang sudah mula menunjukkan taring apabila melakar menewaskan Korea Selatan, 4-2 sebelum mengatasi Pakistan, 2-1 selepas bermula dengan agak suram pada awal saingan.

Bagi Mohd Dharma, aksi semasa membanggakan anak buahnya di kejohanan edisi pertama yang dilihat sebagai pentas pemanas badan sebelum Kejohanan Hoki Remaja Asia di Melaka, Mei tahun depan yang menjadi medan untuk layak ke Piala Dunia Remaja 2013 di India, perlu diteruskan.
Katanya, India pasti mempamerkan aksi terbaik bagi mengelak imej selaku tuan rumah Piala Dunia Remaja tercalar. Malah pada dua aksi lalu pasukan itu tampak begitu bertenaga dan mula beraksi dengan konsisten.

“Pada pertemuan menentang Pakistan, saya akui pemain beraksi di bawah keupayaan sebenar selepas terpaksa beraksi dalam dua perlawanan berturut-turut.

“Kelemahan yang saya kesan lebih kepada sikap pemain yang masih takut untuk mengawal perlawanan apabila bola berada dalam kawalan mereka dan saya perlu segera mengatasi masalah itu jika ingin memastikan mereka tidak layu dengan asakan India.

“Pemain juga perlu elak dari melakukan kesilapan mudah terutama di kawasan D hingga memberi peluang kepada India meraih pukulan sudut penalti selain saya akan menerapkan corak serangan pantas untuk mencari gol awal,” katanya. Mohd Dharma menambah aksi Korea Selatan-Pakistan turut menjadi perhatian kerana Korea Selatan perlu menang dan jika ia menjadi kenyataan, pasti memberikan tekanan buat barisan muda negara untuk memburu kemenangan.

No comments:

Post a Comment