Friday 11 November 2011

‘Ujian terhebat’ (12/11/2011)

LONDON: England bersedia berdepan ujian paling besar dalam persiapan mereka menghadapi Euro 2012 apabila anak buah Fabio Capello turun menentang juara dunia dan Eropah, Sepanyol pada perlawanan persahabatan di Wembley, hari ini.
Capello dibelenggu kecederaan pemain utamanya iaitu Steven Gerrard, Jack Wilshere serta Ashley Young dan tugas pengendali dari Itali itu lebih mencabar apabila memutuskan untuk tidak menyenaraikan Wayne Rooney selepas pemain itu dilayangkan kad merah ketika bertemu Montenegro, bulan lalu.

Selain itu, Capello turut membuat keputusan drastik dengan menyenaraikan kapten, John Terry yang masih terbabit dengan kontroversi ejekan berbentuk perkauman.
Itu semua adalah antara senario dilalui England dalam persiapan mereka bertemu Sepanyol yang dibarisi ramai pemain berkaliber apabila tujuh daripada skuad bimbingan Vicente del Bosque berada dalam senarai 23 pemain yang dicalonkan untuk Anugerah Ballon d’Or Fifa.

Untuk membuktikan kekuatan Sepanyol, David Silva iaitu dikatakan antara pemain terbaik pada saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, masih belum terjamin disenaraikan dalam kesebelasan utama pilihan del Bosque.

Capello yang mengambil keputusan untuk tidak menghadiri perkahwinan anak lelakinya di Itali mungkin menyesali tindakannya itu sejurus selepas tamat perlawanan hari ini tapi beliau sedar dengan tugas besar yang dipikul anak buahnya.

“Mereka mempunyai ramai pemain baik,” kata Capello yang setuju Sepanyol adalah antara pasukan terbaik pernah disaksikannya.

“Mereka mempunyai ramai pemain yang bagus menguasai bola. Inilah gaya bola sepak moden iaitu kembali menguasai bola secepat mungkin.” Capello memberi contoh ketika Barcelona menundukkan Manchester United pada Mei lalu sebagai bukti betapa sukarnya untuk menghadapi Sepanyol.

“Jika anda memberi tekanan kepada Barcelona, mereka sudah biasa dengan situasi itu dan mula membuat hantaran bola dengan cepat.

Jelas beliau lagi, dengan pemain sedia ada, mereka tidak boleh meniru corak permainan seperti Sepanyol kerana ia pasti satu keputusan yang sia-sia.

“Satu kesilapan besar jika kita tiru aksi mereka. Anda perlu beraksi mengikut rentak permainan sendiri bagi menyesuaikannya dengan pemain sedia ada,” kata Capello.

Ketika rekod keseluruhan pengendali dari Itali itu layak dipuji, England tidak cemerlang apabila bertemu lawan berprofil tinggi.

Dalam tujuh perlawanan antara England dengan Jerman, Perancis, Sepanyol, Brazil dan Belanda sejak 2008, anak buah Capello hanya menang sekali, tewas lima kali dan seri sekali. - AFP

No comments:

Post a Comment