Monday 14 November 2011

Tumpuan pengunjung (15/11/2011)

SAINGAN Sukan Lengan anjuran khemah Arena dijangka terus mendapat sambutan hangat serta kekal menjadi salah satu tarikan utama pengunjung Karnival Gegaria Harian Metro (KGHM) yang dijadualkan berlangsung di Dataran Millennium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada hujung minggu ini.
Kejohanan sukan lengan yang sudah berlangsung dengan jayanya pada tiga edisi KGHM sejak awal tahun ini di Johor Bharu (Johor), Ipoh (Perak) dan Temerloh (Pahang) kekal menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM7,600 untuk menjadi rebutan mereka yang bersaing dalam lima kategori yang dipertandingkan.

Harian Metro turut meneruskan komitmennya dalam merancakkan lagi sukan ini di peringkat akar umbi dengan mengekalkan kategori Remaja Lelaki Bawah 17 Tahun dan Terbuka Wanita yang mendapat sambutan hangat sebelum ini.
Kedua-dua kategori terbabit akan berlangsung pada Sabtu dengan pendaftaran bermula jam 8.30 hingga 9.30 pagi untuk kategori Remaja Lelaki Bawah 17 Tahun manakala pendaftaran Terbuka Wanita bermula pada jam 12 tengah hari dengan pertandingan dijangka bermula jam 1.30 petang.

Saingan pada Ahad pula menyaksikan tiga kategori yang sentiasa menjadi tumpuan orang ramai iaitu Terbuka Lelaki 75kg ke bawah, 75kg hingga 85kg dan 85 kg ke atas akan membuka tirainya. Kepada individu yang berminat, mereka hanya perlu mengisi borang penyertaan asal yang disiarkan akhbar nombor satu negara ini berserta bayaran tunai yuran penyertaan mengikut kategori yang ingin disertai selain mematuhi dan memahami syarat yang ditetapkan oleh pihak penganjur.

Selain kehadiran peserta dalam dan luar negara, pembabitan peserta tempatan dari Pulau Pinang amat dialu-alukan bagi memeriahkan lagi saingan terutamanya dalam mengangkat sukan lengan ke peringkat yang lebih tinggi dan berkualiti.


No comments:

Post a Comment