Sunday 13 November 2011

Terjunan emas (20/6/2011)

ATLET negara di Kompleks Jakabaring, Palembang terus bersaing menuai emas di Sukan Sea XXVI apabila dua penerjun negara, Leong Mun Yee-Ng Yan Yee mebuktikan kehebatan dalam acara 3m papan anjal seirama wanita semalam.
Mun Yee, 26 dan Yan Yee, 18, tiada masalah untuk meraih emas apabila mendahului sejak terjunan pertama hingga ke terjunan terakhir, kelima.

“Saya berpendapat terjunan kami ada peningkatan berbanding kali terakhir terjun di Piala Asia, Bukit Jalil,” kata Mun Yee yang beraksi di Sukan Sea kali ketujuh.
Mun Yee-Yan Yee mengumpul 296.10 mata jauh meninggalkan penerjun tuan rumah, Dewi Setwiningsih-Natalie Dinda yang meraih perak mengejutkan gandingan Filipina, Shila Mae Perez-Ceseil S Domenios, gangsa. “Ini adalah emas ke-12 saya di temasya ini dan saya harap dapat mencipta kejayaan lebih besar terutamanya memburu tempat ke Olimpik London.” Dalam pada itu, Yan Yee yang beraksi di temasya Sukan Sea kedua selepas meraih emas bersama Mun Yee di Laos berkata kemajuan yang dicapai bersama gandingannya adalah berkat usaha latihan tanpa henti.

“Kami sentiasa menjalani latihan malah lebih penting kami tampak makin serasi kerana sering bersama meskipun jarak umur kami berbeza.

“Sejak digandingkan, kami tinggal sebilik di MSN mahupun ketika menyertai pertandingan,” kata Yan Yee.

Mun Yee ada satu lagi acara iaitu 10m platform seirama manakala Yan Yee akan beraksi dalam acara 3m papan anjal individu.

No comments:

Post a Comment