Wednesday 23 November 2011

Terbaik dalam karier (24/11/2011)

LONDON: Pemain tenis Switzerland, Roger Federer menyifatkan kejayaan menewaskan Rafael Nadal, 6-3, 6-0 pada Jelajah Akhir ATP Dunia sebagai salah satu persembahan terbaik pernah dipamerkannya.
Federer sudah mengharungi detik manis dalam kerjaya gemilangnya namun juara Grand Slam 16 kali itu terkejut kerana menguasai sepenuhnya perlawanan dengan musuh lamanya itu di gelanggang O2 Arena, London kelmarin.

Pemain berusia 30 tahun itu hanya memerlukan satu jam untuk menewaskan Nadal. Sebelum ini, dia biasanya terpaksa bekerja keras sebelum mencapai kejayaan.
Nadal mungkin terjejas dengan kecederaan yang membelenggunya sejak beberapa minggu lalu namun Federer tidak pernah menewaskan lawan dari Sepanyol itu dengan jurang yang selesa dan dominasinya menjadikan ia sebagai salah satu persembahan terbaik sepanjang masa. “Sudah pasti ini antara yang terbaik. Saya lalui beberapa perlawanan menarik sepanjang karier tapi ini berada di tempat tertinggi kerana menentang seteru utama,” kata Federer.

“Lebih penting ini adalah Kejohanan Akhir Jelajah. Saya terkejut kerana mempamerkan persembahan penuh yakin tapi namun ia adalah yang terbaik.

“Mungkin dia belum menyesuaikan diri kerana turun dalam perlawanan kedua selepas berehat selama lima minggu.
“Namun kemenangan ini hebat untuk saya kerana kita tahu Rafa mempunyai tahap tertentu dan dia tidak pernah mempamerkan persembahan di bawah tahap itu.” Pengalaman buruk Federer menentang Nadal diketahui umum dan sebelum perlawanan semalam, dia tewas tiga kali berturut-turut kepada lawan dari Sepanyol itu.

Namun 12 daripada 17 kemenangan Nadal ke atas Federer berlaku di gelanggang kegemarannya, tanah liat dan bintang Switzerland itu lebih yakin untuk menang di gelanggang keras yang lebih pantas. - AFP

No comments:

Post a Comment