Friday 11 November 2011

Tekad ganda usaha (11/11/2011)

PELUMBA Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, Norizman Ismail, Mohd Affendi Rosli dan Azlan Shah Kamaruzaman akan menggandakan usaha pada pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) minggu ini.
Ketiga-tiga pelumba akan memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kedua-dua gelaran individu keseluruhan CP130 dan anugerah berpasukan CP130 tidak terlepas dari genggaman selepas berada pada kedudukan selesa setakat ini.

Norizman mendahului kedudukan keseluruhan dengan 102 mata, lebih 23 mata berbanding Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline), Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing) dan rakan sepasukan, Affendi yang terikat di tangga kedua dengan 79 mata.
Dalam senarai Anugerah Berpasukan Keseluruhan, Harian Metro TEQ SCK Honda Racing (Norizman/Azlan) mendahului senarai dengan 173 mata, 31 mata mengatasi Pennzoil Racing (Fazli/Ahmad Fazrul Sham) yang berada di kedudukan kedua, 142 mata.

Norizman, 26, yang menjuarai dua perlumbaan (Pusingan 4 di Putrajaya dan Pusingan 5 di Teluk Intan) setakat ini berjaya mengutip mata secara konsisten pada setiap pusingan perlumbaan dan menjelang perlumbaan minggu ini, dia harap mampu menamatkan perlumbaan di depan Hafizh.

“Hafizh merupakan salah seorang pencabar utama saya. Dia pelumba yang konsisten dan keputusan yang dicapainya menunjukkan kemajuan yang begitu positif. Dia menamatkan perlumbaan di hadapan saya pada tiga pusingan terakhir dan saya mesti menghentikannya daripada terus mengejar pungutan mata saya di Sepang. “Oleh itu, sasaran utama saya pada perlumbaan minggu ini adalah untuk menamatkan perlumbaan di hadapan Hafizh,” kata Norizman yang juga pemenang perlumbaan di litar sama tahun lalu manakala Hafizh naib juara.

Bagi Affendi pula, dia mempunyai misi berbeza untuk dilaksanakan iaitu mencari kemenangan pertamanya pada musim ini. “Saya ingin meraih kemenangan pertama selepas kali terakhir memenangi perlumbaan pada tahun 2009 ketika beraksi di litar ini. Selain itu jika saya mengutip 25 mata maksimum dan Norizman di tempat kedua, ia sudah cukup baginya untuk bergelar juara keseluruhan musim ini,” kata Affendi yang mencatat keputusan terbaik musim 2011 dengan menduduki tempat kedua di Putrajaya.

Sementara itu, Azlan yang berada di tangga ke-12 keseluruhan dengan 61 mata berharap dapat kembali berada pada prestasi terbaik. “Saya gagal mengutip mata pada pusingan sebelum ini kerana mengalami masalah teknikal dan saya harap ia tidak berulang lagi memandangkan Kejuaraan kini menuju ke penghujung. “Saya perlu mengutip mata sebanyak mungkin untuk mengukuhkan kedudukan pasukan. Tidak cukup dengan itu, kami bertiga akan bersatu dan melakukan yang terbaik bagi memastikan kejayaan menjadi milik kami,” tambah Azlan.

Masuk dan tempat meletak kenderaan adalah PERCUMA. Peminat seluruh negara juga boleh menyaksikan siaran langsung perlumbaan pada hari Ahad di Astro Supersports (811) bermula jam 2.30 hingga 4.30 petang. Bagi yang ingin menyaksikan perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang, masuk dan tempat letak kenderaan adalah percuma.

No comments:

Post a Comment