Wednesday, 9 November 2011

Tekad baiki kedudukan (10/11/2011)

MOHD Ramdan Mohd Rosli berhasrat memperbaiki kedudukan keseluruhannya pada pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) pada Sabtu dan Ahad ini.
Rentetan nasib malang dialami pelumba Petronas Syntium Moto Yamaha AHM itu pada musim ini bagaimanapun tidak menghalangnya melonjak ke kedudukan kelima dari tangga ke-13 dengan mengumpul 72 mata pada perlumbaan sebelum ini. Bagaimanapun, dia berkongsi dengan Mohd Taufiq Roslan (Yamaha Maju Motor Racing) yang turut mengumpul jumlah mata sama.

Mendahului kedudukan keseluruhan ialah Norizman Ismail dari Harian Metro TEQ SCK Honda Racing, 102 mata diikuti Hafizh Syahrin Abdullah (Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline), Ahmad Fazli Sham (Pennzoil Racing) dan rakan sepasukan Norizman, Mohd Affendi Rosli yang terikat di tangga kedua dengan 79 mata.
Ramdan yang ketinggalan tujuh mata kepada ketiga-tiga pelumba di tangga kedua itu yakin masih mampu merapatkan jurang dan seterusnya menduduki tangga ketiga keseluruhan. “Pada peringkat ini jurang mata antara 10 pelumba teratas begitu rapat dan saya masih berpeluang memperbaiki kedudukan,” kata pelumba berusia 15 tahun yang memenangi pusingan pembukaan di Kangar dan muncul naib juara di Teluk Intan (Pusingan 5) dan Melaka (Pusingan 8).

“Walaupun ini musim pertama saya bersaing dengan pelumba handalan dan lebih berpengalaman, saya tetap mahu menamatkan perlumbaan musim ini dengan keputusan terbaik. “Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi atau tidak realistik namun sasaran saya adalah untuk berada di tiga kedudukan teratas. “Jika bukan kerana nasib malang yang saya lalui sepanjang musim ini, sudah pasti saya berada dalam kedudukan lebih baik,” katanya yang tidak beraksi tiga pusingan akibat kecederaan buku lali sewaktu menjalani latihan motocross.

Selain itu, dia turut terbabas sewaktu bersaing dengan Hafizh di Alor Setar (Pusingan 6) dan mengalami masalah jentera di Kluang (Pusingan 7).

No comments:

Post a Comment