Tuesday 22 November 2011

Syed Mustaffa puas hati lepasi ranjau (23/11/2011)

PENGALAMAN pertama menjadi Ketua Kontinjen Sukan Sea di Palembang cukup memuaskan hati Datuk Syed Mustaffa Syed Ali terutamanya ketika perlu berdepan pelbagai masalah di kota serba kekurangan ini.
Apa lagi ketika prestasi atlet yang melepasi sasaran 22 emas dari Palembang sewaktu mereka menghadapi beberapa kesukaran yang boleh menggugat pungutan pingat seperti masalah keracunan makanan.

“Ini pengalaman pertama saya sebagai ketua kontinjen selepas menjadi pengurus pasukan skuasy di Sukan Asia, Doha. Tidak dinafikan kami berdepan ranjau dengan masalah penginapan yang ditukar-tukar penganjur, pengangkutan serta tidak terkecuali pemergian Allahyarham Harun Osman sebelum temasya bermula.
“Saya beruntung kerana ada pasukan yang cekap menangani setiap masalah tidak dijangka ini,” kata Syed Mustaffa.

Beliau amat berpuas hati dengan prestasi atlet.

“Bukan senang untuk atlet kita menangani tekanan dari penonton tuan rumah yang cukup fanatik tapi mereka berjaya mengatasi ejekan dengan meraih emas demi emas. Malah emas pertama dan ke-40 juga datang dari kontinjen kita di Palembang.
“Begitupun saya agak kecewa dengan sikap atlet sepak takraw kita. Mereka nampak ketakutan di depan penyokong Indonesia, langsung tidak menunjukkan tanda-tanda seorang atlet yang baik.” Kontinjen negara di Palembang berjaya membawa pulang 30 pingat emas, lebih lapan emas dari sasaran yang ditetapkan KBS.

Presiden Persatuan Skuasy Malaysia itu memilih akuatik sebagai pasukan terbaik apabila menyumbang 17 emas, 13 perak dan empat gangsa dari Palembang.
Acara terjun paling cemerlang dengan tujuh emas manakala renang dan renang berirama berkongsi menyumbang lima emas.

No comments:

Post a Comment