Friday 11 November 2011

Skuad polo air kena bedal (11/11/2011)

AKSI pertama atlet negara di Sukan Sea Indoesia kali ini menyaksikan skuad polo air wanita menjadi mangsa belasahan wakil tuan rumah apabila tewas dengan jaringan 3-19.
Kekalahan yang sudah dijangka itu bererti peluang untuk meraih perak sudah boleh dilupakan kerana lawan yang menanti skuad bimbingan Fan Kow Jan selepas ini lebih sukar iaitu Singapura.

Biarpun gangsa sudah berada dalam genggaman apabila hanya tiga negara mengambil bahagian, Kow Jan berkata, pengalaman sebenarnya dicari dan yang penting adalah pendedahan buat atlet yang masih muda.
“Kami mungkin kalah lagi kepada Singapura tapi saya harap jurang matanya dapat dikurangkan.

“Daripada perlawanan menentang Indonesia banyak kelemahan dipelajari antaranya kita kurang berhati-hati, kurang persefahaman dan lawan ditentang jauh lebih berpengalaman,” katanya.

Malaysia akan turun pada perlawanan kedua menentang Singapura pagi ini manakala satu lagi perlawanan membabitkan Indonesia dan Singapura berlangsung keesokan harinya.

Acara polo air wanita buat pertama kali dipertandingkan di Sukan Sea.

No comments:

Post a Comment