Tuesday, 22 November 2011

Skuad lelaki bergaya (23/11/2011)

MEREKA tidak diletakkan harapan besar untuk menyinar berbanding skuad bowling wanita negara pada temasya Sukan Sea ke-26 di Jakarta.
Namun skuad bowling lelaki negara tampil lebih bergaya dengan menyumbang empat emas berbanding satu daripada kategori wanita.

Pengurus skuad negara, Cheah Ban Cheng berkata, skuad lelaki akhirnya berjaya membuktikan mereka sudah matang dan adalah yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
“Mereka boleh dianggap sebagai pasukan impian terbaik di rantau ini. Mereka berdisiplin, gigih berlatih dan mempamerkan komitmen tinggi setiap kali turun ke gelanggang.

“Namun kejayaan skuad lelaki tidak diiringi dengan persembahan baik daripada skuad wanita. Sudah tiba masanya pasukan ini disedarkan daripada tidur yang lena walaupun mereka memenangi satu emas menerusi acara beregu. Kami akan kaji semula persembahan pemain wanita selepas temasya ini,” kata Ban Cheng.

Adrian Ang bertindak hebat dengan menyumbang empat pingat emas dalam acara beregu (bersama Alex Liew), trio (bersama Alex dan Zulmazran Zulkifli), lima sepasukan (bersama Alex, Zulmazran, Aaron Kong, Syafiq Ridhwan Abdul Malek) dan Masters kelmarin selepas menundukkan pemain Filipina, Frederick Ong.
Skuad wanita pula hanya berjaya membawa pulang satu emas menerusi Jacqueline Jenelee Sijore dan Zandra Aziela Ibahim Hakimi dalam acara beregu manakala Sharon Koh terlepas emas dalam acara Masters apabila kecundang di tangan pemain Singapura, Cherie Tan.

Ban Cheng berkata, tiga pemain skuad wanita kali ini - Jacqueline, Sin Li Jane dan Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon - adalah daripada skuad pelapis yang hanya diserapkan ke dalam skuad elit tahun ini lantas mereka kekurangan pengalaman walaupun Jacqueline memenangi acara perseorangan pada Kejohanan Dunia di Hong Kong baru-baru ini.
“Pencapaian kami kali ini lima emas, tiga perak dan enam gangsa lebih baik daripada di Korat sebelum ini dengan 4-3-5 namun kami berjaya melepasi sasaran persatuan dan Majlis Sukan Negara iaitu tiga emas,” kata Ban Cheng.

No comments:

Post a Comment