Monday 21 November 2011

Skuad lawan pedang idam ke Olimpik 2012 (22/11/2011)

SELEPAS meraih dua pingat emas pada temasya Sukan Sea ke-26, skuad lawan pedang negara kini boleh mengimpikan sesuatu yang lebih bermakna apabila mereka cuba untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012.
Lantas Kejohanan Lawan Pedang Asia di Wakayama, Jepun, April tahun depan mampu menjadi pentas untuk merealisasikan impian beraksi pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Pengurus pasukan negara, Riduan Abdul berkata, kejayaan Joshua Koh dalam acara epee individu dan pasukan sabre lelaki meraih pingat emas di Jakarta menyuntik semangat persatuan untuk berusaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat julung kali.
“Kami akan menghantar beberapa atlet ke Kejohanan Asia di Jepun tahun depan dengan harapan untuk menempah tiket ke temasya Sukan Olimpik London 2012. “Kejayaan di Jakarta kali ini sesuatu yang bermakna dan tidak salah jika kami mengimpikan sesuatu yang lebih besar seperti Olimpik.

“Saya fikir Joshua dan (Yu) Peng Kean bersedia untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi kerana persembahan mereka semakin matang,” katanya.

Peng Kean, Muhammad Radhi Hasim dan Liong Ming Chang menambah koleksi emas skuad lawan pedang yang hadir dengan sasaran untuk membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan tiga gangsa. Sebaliknya mereka pulang dengan dua emas dan lima gangsa.
Riduan berkata kejayaan skuad kali ini adalah hasil usaha keras Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Majlis Sukan Negara menerusi program pembangunan bakat di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI), dulunya dikenali sebagai Sekolah Sukan Bandar Penawar di Johor.

No comments:

Post a Comment