Sunday 13 November 2011

Skuad karate garang (14/11/2011)

SELEPAS kecewa tanpa sebarang pingat emas pada hari pertama pertandingan kelmarin, skuad karate negara harus berbangga apabila merangkul empat pingat emas di Stadium Tenis Senayan, semalam.
Bermula dengan kejayaan Shaharudin Jamaludin dalam acara kumite bawah 75kg lelaki, anak buah P Arivalagan terus mengamuk dan melakar tiga lagi emas menerusi R Loganeshaa Rao (kumite bawah 55kg lelaki), G Yamini (kumite bawah 61kg wanita) dan K Teagarajan (kumite bawah 84kg lelaki).

Kutipan empat pingat emas bermakna skuad negara kian hampir menepati sasaran enam emas pada temasya Sukan Sea kali ini, namun mereka mesti menang baki dua lagi pingat emas acara kumite berpasukan lelaki dan wanita hari ini.
“Kami perlu memenangi acara berpasukan selepas ini,” kata Arivalagan.

Bagi Loganeshaa, kemenangannya amat bermakna kerana dia berjaya mengekalkan penguasaan Malaysia dalam acara bawah 55kg yang sebelum ini dikuasai oleh jurulatihnya, R Puvaneswaran.

“Memang saya gembira kerana ini emas pertama saya dan kini saya boleh memikirkan mengenai buruan emas pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014,” kata Loganeshaa yang menundukkan peserta Vietnam, Nguyen Quang Phuc 3-0 pada pertarungan akhir yang diadakan beberapa minit saja selepas menamatkan saingan separuh akhir.


No comments:

Post a Comment