Wednesday 23 November 2011

Shafiq buru takhta (24/11/2011)

MOHD Shafiq Rasol percaya dia memiliki kelebihan untuk merangkul gelaran juara Piala Yamaha EgoLC Petronas pada pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 3 dan 4 Disember depan.
Pelumba 15 tahun itu yang kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 114 mata yakin berbekalkan pengalaman beraksi dalam Cabaran Honda icon musim lepas dapat menjadi kelebihan buatnya menghadapi pesaing yang masih setahun jagung dalam arena Cub Prix kecuali abangnya, Mohd Amirol Rasol, Shahrul Azzuwan Mohd Noor, Noor Edrin Ezurin Nor Asmara dan Mohd Izzat Mohd Abdul Hakim yang pernah beraksi tahun lalu.

Shafiq akan berkunjung ke Pulau Pinang dalam keadaan selesa apabila hanya Mohd Nasri Mohd Ishak dan Mohd Mu’izz Al-Atrash mampu menyekat kemaraannya. Nas ri yang berasal dari Sarawak kini menduduki tangga kedua carta keseluruhan dengan 105 mata, hanya 9-mata kurang dari Shafiq manakala Mu’izz berada di tangga ketiga dengan 95 mata.
Dilahirkan dan dibesarkan di Melaka, Shafiq hanya perlu menghabiskan perlumbaan minggu hadapan di atas podium untuk memastikan gelaran juara menjadi miliknya selepas mempamerkan prestasi memberangsangkan sejak kategori ini bermula pada Pusingan 4 di Putrajaya.

“Saya percaya peluang untuk meraih gelaran keseluruhan Piala Yamaha EgoLC Petronas di Pulau Pinang minggu hadapan cukup cerah namun saya tidak mahu terlalu yakin. Selepas enam pusingan, Nasri hanya ketinggalan sembilan mata dan saya fikir dia mempunyai kekuatan yang sama dengan saya kerana kami sama-sama beraksi dalam kategori Wira dan juga kategori satu pengeluar musim ini. Oleh itu, pengalaman beraksi di litar ini pada musim lalu mampu menjadi satu kelebihan buat saya menamatkan perlumbaan akan datang dengan satu lagi kemenangan,” ujar Shafiq yang beraksi dalam kategori Wira bersama YSP Faito Racing.

“Saya berlumba dalam kategori Cabaran Honda icon pada tahun 2010 namun gagal untuk menamatkan perlumbaan (DNF). Namun begitu, saya memahami keadaan litar dan cabaran yang ada di sini. Jadi saya berharap dapat menggunakan pengalaman ini untuk menewaskan Nasri terutama di perlumbaan akhir. Di samping itu, saya juga mengambil inisiatif meningkatkan tahap fizikal dan mental saya sepanjang dua minggu lalu dengan melakukan latihan joging, berlatih di gimnasium dan juga berenang.” Setakat ini, Shafiq menamatkan lima daripada enam pusingan di atas podium dengan tiga daripadanya sebagai juara ketika di Alor Setar (Pusingan 6), Kluang (Pusingan 7) dan di Sepang (Pusingan 9) baru-baru ini. Dua daripadanya pula di tempat ketiga iaitu ketika di Putrajaya dan di Melaka.
Maklumat lanjut, sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas, www.malaysiancubprix.com atau menyertai laman Facebook di www.facebook. com/malaysiancubprix dan Twitter melaluiwww.twitter. com/msiancubprix

No comments:

Post a Comment