Thursday 24 November 2011

Semangat Zulfadli makin membara (25.11.2011)

KEJAYAAN muncul juara badminton perseorangan remaja dunia 2011 menjadi pembakar semangat buat Zulfadli Zulkiffli untuk beraksi cemerlang pada setiap kejohanan yang disertainya.
Kejohanan pertama dihadapi adalah Cabaran Antarabangsa Proton Malaysia 2011 di Kompleks Sukan Sandakan dan selepas ini dia akan beraksi di Kejohanan Terbuka Macau pada hujung bulan ini.

“Tumpuan saya pada masa ini adalah memberi persembahan terbaik dalam kejohanan di sini tanpa mengira lawan yang dihadapi,” katanya ketika ditemui selepas menundukkan Takeshita Riichi dari Jepun pada pusingan kedua hari ini.
Zulfadli, 18, menyedari kehadiran ramai pemain dari luar negara pada Cabaran Antarabangsa Proton tahun ini akan memberi saingan sengit dalam setiap peringkat yang dihadapi.

Menurut beliau semua pemain perseorangan termasuk dari negara ini mempunyai kelebihan masing-masing dan untuk itu dia perlu bermain bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan tanpa mengira siapa lawan yang dihadapinya.

Zulfadli adalah pemain daripada kelab profesional, KLRC dan menjuarai perseorangan remaja Asia pada April lalu.
Jurulatih yang juga bapanya, Zulkiffli Sidek puas hati dengan tahap permainan Zulfadli biarpun menghadapi dua kejohanan berturut-turut pada bulan ini selepas dinobat juara perseorangan remaja dunia. - Bernama

No comments:

Post a Comment