Thursday 24 November 2011

SDAR pamer belang (25/11/2011)

SEKOLAH Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan muncul juara keseluruhan Kejohanan Ragbi 10 Sepasukan Bawah 15 Tahun Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM)-Milo Ke-30 selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains (SMS) Hulu Selangor, Selangor, 8-0, kelmarin.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan SDAR membawa pulang piala pusingan Piala Datuk Sulaiman Daud yang mula diperkenal sejak kejohanan pertama pada 1981.

Barisan pemain ragbi SDAR mendapat sentuhan jurulatih Hazman Jazimin dan Wan Sharudin Wan Ladin yang juga bekas pemain ragbi kebangsaan dari 1986 hingga 1990 itu melakar kemenangan buat kali ketiga selepas memenanginya pada 1990 dan 2009.
Tempat ketiga dimenangi SMS Selangor selepas membenam Sekolah Sultan Alam Shah, Kuala Lumpur, 14-0.

Bagi kategori plate, SMS Sultan Mahmud, Terengganu muncul juara selepas mengecewakan Sekolah Menengah (SM) Sultan Yahya Petra, Kelantan 12-5 pada perlawanan akhir.

Pasukan ragbi Kolej Yayasan Saad yang mewakili Melaka sebagai tuan rumah bagaimanapun berjaya muncul juara bagi kategori bowl selepas menang 8-5 ke atas Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.
Kategori shield pula diungguli SMS Sultan Ahmad Shah, Pahang selepas mencipta kemenangan bergaya mengalahkan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi Selandar, Melaka, 12-0.

Sementara itu, SDAR turut mencipta kejayaan berganda apabila dua pemainnya dinobat Pemain Terbaik Kejohanan dan Pemain Terbaik Perlawanan Akhir menerusi Amirul Nizar dan Hasif Abd Halim.
Pemain Terbaik Forward pula milik Aiman Amir dari SMS Selangor dan Pemain Terbaik Back Line dianugerahkan kepada Farid Mustafa dari SMS Hulu Selangor.

No comments:

Post a Comment