Thursday 24 November 2011

‘Saya letih’ (25.11.2011)

LONDON: Bintang tenis Serbia, Novak Djokovic (gambar) menganggap dirinya keletihan selepas mengharungi musim cemerlang apabila tewas 3-6, 1-6 di tangan pemain Sepanyol, David Ferrer pada perlawanan peringkat kumpulan Final Jelajah ATP Dunia, semalam.
Pemain nombor satu dunia itu melalui musim paling hebat sepanjang kariernya selepas memenangi tiga kejuaraan Grand Slam dan lima kejuaraan Masters.

Bagaimanapun, pemain berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan belakang sejak Terbuka Amerika Syarikat (AS) menyebabkan prestasinya merudum.
Sebagai bukti, Djokovic gagal mempamerkan aksi cemerlang ketika bertemu Ferrer tapi dia masih berpeluang layak ke separuh akhir jika menewaskan rakan senegara, Janko Tipsarevic, hari ini.

Djokovic jelas gagal mempamerkan aksi sebenar apabila tewas kali kelima dalam 75 perlawanan tahun ini dan dia mengaku kekalahan paling teruk dialaminya itu disebabkan bermain terlalu kerap selama 11 bulan.

“Tahniah kepada Ferrer kerana aksinya yang hebat. Saya pula gagal mempamerkan prestasi sebenar, mungkin kerana jadual yang padat musim ini. “Perlawanan itu paling teruk dan saya melakukan banyak kesilapan. Hakikatnya, saya gagal beraksi dengan baik.
“Sukar untuk saya mempamerkan rentak sebenar. Pergerakan saya, kesungguhan membalas pukulan, jangkaan dan segala-galanya tidak menjadi. Ia sememangnya perlawanan yang sangat teruk.

“Ferrer bagaimanapun bermain dengan baik tapi saya gagal memberikan saingan yang sepatutnya.
“Saya malu melihat statistik perlawanan ini,” kata Djokovic. - AFP

No comments:

Post a Comment