Friday 11 November 2011

Sabella resah hadapi Bolivia (11/11/2011)

BUENOS AIRES: Keresahan masih membelenggu kem Argentina minggu ini apabila pasukan yang dibintangi Lionel Messi itu bersiap sedia untuk bertemu Bolivia pada pusingan kelayakan Piala Dunia, awal pagi esok.
Begitu juga dengan Chile yang mengetepikan lima pemain kerana tidak berdisiplin menjelang kunjungan ke Montevideo untuk bertemu dengan juara Amerika Selatan dan pendahulu kumpulan, Uruguay.

Argentina diaib Venezuela 1-0 pada perlawanan pusingan kelayakan bulan lalu selepas menewaskan Chile 4-1.
“Jika keputusan di Venezuela bagus, saya lebih tenang ketika ini,” kata jurulatih, Alejandro Sabella (gambar).

“Realitinya ialah saingan kelayakan ini ada kedudukan dan atas faktor itu, anda perlu memungut mata. Lebih banyak memungut mata, pasti lebih tenang,” katanya.

Penyerang, Gonzalo Higuain yang mencipta hatrik ketika bertemu Chile berkata: “Amat penting menang. Kami perlu bangkit selepas perlawanan dengan Venezuela.” Argentina berkunjung ke Colombia, Selasa ini selepas perlawanan tempat sendiri bertemu Bolivia yang di belasah 6-1 oleh Argentina yang dibimbing Diego Maradona di La Paz tiga tahun lalu dan mencipta keputusan seri 1-1 di bawah kendalian Sergio Batista pada saingan Copa America, Julai lalu.

“Bolivia dijangka akan bertahan dan bukannya menyerang. Kami perlu mencari ruang dan ia pasti menyukarkan seperti yang berlaku pada Copa America,” kata Higuain.

Jurulatih Bolivia, Gustavo Quinteros berkata: “Kami beraksi lebih baik di tempat lawan dan akan cuba mengulangi pencapaian di Copa America dengan beraksi sebaik mungkin untuk menafikan Argentina.” - Reuters

No comments:

Post a Comment