Saturday 12 November 2011

Robani intai pingat emas (13/11/2011)

“SAYA nak emas dan jika berjaya barulah boleh memikirkan langkah seterusnya iaitu Olimpik,” itu tekad pelari 110m lari berpagar negara, Robani Hassan apabila turun beraksi di venue olahraga di Kompleks Sukan Jakabaring, hari ini.
Robani, 28, perlu membuktikan kemampuannya untuk meraih emas andai memiliki cita-cita beraksi di Olimpik dan dia antara pelari yang berpotensi untuk menghadiahkan pingat buat negara tapi bakal ditentang rakan senegara, Rayzamsyah Wan Sofian dan jaguh dari Thailand.

Atas kertas, pelari yang pernah menghadiahkan emas dalam acara sama di Sukan Sea Manila 2005 itu berada di kedudukan ketiga di belakang Rayzam dan atlet Thailand namun tiada perkara mustahil untuk dirinya mengulangi kejayaan merangkul emas.
Mungkin berlari di atas trek terbuka dengan keadaan cuaca berangin mampu membantu Robani melakarkan larian lebih baik sekali gus memperbaiki catatannya tahun ini, 14.05s.

“Keadaan cuaca di sini sangat panas hingga rasa seperti boleh pitam. Tapi acara saya pada esok petang (hari ini) dengan keadaan tiupan angin dari belakang mungkin memberi sedikit kelebihan.

“Semua persediaan sudah dilakukan dan saya hanya perlu fokus 100 peratus untuk mara ke final,” katanya yang kembali ke arena olahraga awal tahun ini selepas pulih daripada kecederaan kaki kirinya yang berulang.

Robani yang dibimbing Ithnin Mahadi sekadar membawa pulang pingat perak pada temasya dua tahun lalu di Laos apabila tewas di tangan pelari Thailand, Jamras Rittidet yang mencatatkan kepantasan 13.89s dan pingat gangsa juga menjadi milik Thailand, Suphan Wongsriphu, 14.16s.

No comments:

Post a Comment