Friday 11 November 2011

Risau bunyi bising (11/11/2011)

DIA mungkin tertekan kerana namanya disebut-sebut sebagai atlet yang mungkin meraih pingat emas sulung buat kontinjen negara pada temasya Sukan Sea ke-26.
Namun Jamalliah Jamaluddin, pemenang pingat perak acara 68kg ke atas pada Sukan Asia Guangzhou 2010, tidak langsung gusar dengan semua ramalan itu sebaliknya tenang sebaik tiba bersama 20 atlet karate lain di Jakarta, semalam.

“Tidak, saya tidak tertekan. Tekanan akan bermula apabila saya memasuki gelanggang pada hari pertandingan. Jika saya beraksi dengan keupayaan sebenar, tiada sebab kenapa pingat emas tidak boleh dipertahankan,” kata atlet berusia 27 tahun itu yang memburu emas ketiga berturut-turut selepas 2007 (Korat) dan 2009 (Vientiane).
Sebaliknya Jamalliah lebih bimbang bunyi bising di dewan pertandingan yang dijangka lebih kuat apabila dia melangkah ke pentas pertarungan.

“Bunyi bising mungkin menyukarkan saya untuk mendengar arahan jurulatih,” katanya yang tampil kali kelima pada temasya Sukan Sea selepas penampilan sulungnya pada 2005 di Manila menghasilkan pingat perak.

Seorang lagi atlet karate mungkin mampu menjadi penyumbang emas pertama kontinjen negara adalah juara Asia, Ricky Leong yang bertanding dalam acara individu kata lelaki.

Ricky, 25, akan turun ke gelanggang lebih awal berbanding Jamalliah di Kompleks Sukan Senayan, esok.

Namun atlet berasal dari Kota Kinabalu itu lebih bimbangkan juri pertandingan selain wakil tuan rumah.

“Saya tidak berasa status juara Asia membawa makna apa-apa kerana ini satu pertandingan berbeza. Tekanan mungkin lebih tinggi tapi saya tidak takut.

“Apa yang saya bimbangkan adalah pengadilan dan atlet tuan rumah. Tapi saya sudah berlatih dengan gigih dan pingat emas satu kemungkinan,” kata Ricky, yang dilatih bekas pemenang pingat emas Sukan Sea, Lim Lee Lee.

Persekutuan Karate Malaysia (MKF) mensasarkan enam pingat emas pada temasya kali ini, lebih satu daripada di Vientiane dua tahun lalu.

No comments:

Post a Comment