Friday 11 November 2011

Rexy cabar anak buah (11/11/2011)

DUA pingat emas mengejut di Vientiane dua tahun lalu harus menjadi penyuntik semangat kepada skuad badminton wanita negara pada temasya Sukan Sea kali ini.
Mereka tidak diberi sebarang harapan untuk mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan wanita, yang menamatkan kemarau 34 tahun di Laos dan beregu wanita menerusi Chin Eei Hui-Wong Pei Tty.

Apa tidaknya, skuad kali ini dibarisi pemain muda yang masih kekurangan pengalaman di peringkat antarabangsa.
Namun ketua jurulatih skuad wanita, Rexy Mainaky tampil berani mencabar anak buahnya untuk mengulangi kejutan besar dilakar dua tahun lalu.

“Benar, dua tahun lalu tiada siapa yang meletakkan sebarang harapan tapi skuad wanita membuktikan ramalan itu salah apabila membawa pulang dua emas acara berpasukan dan beregu.

“Lantas, situasinya kini lebih kurang sama kerana tidak diberikan harapan tinggi kerana sebahagian besar mereka adalah muka baru tapi saya tidak mahu mereka gentar dan menyerah kalah sebelum berjuang,” katanya sejurus tiba di Jakarta bersama pasukan semalam.

Badminton, yang bermula dengan acara berpasukan esok di Istora Senayan, akan menampilkan Lydia Cheah, Sonia Cheah, Tee Jing Yi, Yang Li Lian, Vivian Ho, Woon Khe Wei, Lim Yin Loo dan Marylen Ng dalam kategori wanita.

No comments:

Post a Comment