Tuesday 22 November 2011

Redknapp ceria (23/11/2011)

LONDON: Pengurus Tottenham, Harry Redknapp menganggap kejayaan pasukannya menewaskan Aston Villa, 2-0 dan melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris sebagai penawar terbaik untuknya selepas menjalani pembedahan jantung.
Kemenangan Spurs yang juga perlawanan pertama dikendalikan Redknapp selepas menjalani pembedahan kecil tiga minggu lalu dinikmati hasil dua gol sumbangan penyerang antarabangsa Togo, Emmanuel Adebayor.

“Saya gembira melihat aksi mereka dan ia penawar terbaik untuk saya,” kata Redknapp yang menyaksikan skuad kendaliannya kini hanya ketinggalan sembilan mata di belakang Manchester City dan beraksi kurang satu perlawanan.
“Aksi kami setaraf kelab teratas. Banyak pasukan terbaik di seluruh dunia dan saya rasa kami bermain sebagus mereka.” Spurs mendahului 1-0 hasil sepakan gunting Adebayor pada minit ke-14 dan jaringan kedua dari jarak setengah kaki membantu kelabnya selesa di depan pada hujung babak pertama.

“Kami semua faham saat sukar dilalui Redknapp tapi kami sentiasa menyokongnya,” kata Adebayor selepas wisel penamat semalam.

Redknapp kembali lebih awal daripada yang dijangkakan dan menyatakan tiada masalah untuknya kembali bekerja semula.
“Doktor menasihati saya supaya berehat empat atau lima minggu tetapi saya tidak mahu terlalu mengikut nasihatnya,” kata Redknapp. “Saya rasa lebih sihat sekarang berbanding sebelum ini dan tidak sabar untuk kembali bertugas.” Redknapp turut berpendapat, skuad bimbingannya itu berpeluang menjadi pencabar kejuaraan liga jika mereka meneruskan aksi cemerlang. Kemenangan ke atas Villa adalah kali kesembilan berturut-turut mereka tidak tewas.

“Ia satu kemungkinan dan tidak mustahil,” katanya menulas peluang pasukannya memburu kejuaraan liga. - AFP

No comments:

Post a Comment