Friday 25 November 2011

Real idam kekal rekod pencapaian (26.11.2011)

MADRID: Misi Real Madrid dan Barcelona mengungguli takhta teratas liga berterusan dengan Real bakal menanti kunjungan Atletico Madrid manakala Barcelona berkunjung ke Getafe yang masih gagal mempamerkan persembahan meyakinkan.
Real pasti ingin mempertahankan kelebihan tiga mata di depan Barcelona dan melebarkan rekod 12 kemenangan berturut-turut musim ini. Kali terakhir Real tewas kepada Atletico pada 1999 apabila Atletico menang 3-1 di Santiago Bernabeu. Selepas itu, Real merekodkan 15 kemenangan dan enam seri ke atas Atletico sekali gus membuktikan mereka adalah pasukan terbaik bandar itu.

Pemain pertahanan Brazil, Marcelo mungkin diturunkan selepas tidak turun berlatih sepanjang minggu lalu akibat kecederaan dialami ketika pasukannya menewaskan Valencia, minggu lalu.
Dia kembali menjalani latihan kelmarin tetapi rakan senegara, Kaka dan Alvaro Arbeloa tidak turun berlatih sepanjang minggu lalu dan dijangka akan direhatkan.

Ketiadaan beberapa pemain utama Real tidak menjejaskan aksi pasukan itu. Ia dibuktikan pada pertengahan minggu lalu di saingan Liga Juara-Juara apabila jurulatih, Jose Mourinho mengambil keputusan merehatkan beberapa pemain tetapi Real tetap mampu mencatatkan kemenangan besar 6-2 ke atas Dinamo Zagreb.

Cristiano Ronaldo (gambar), Iker Casillas dan pemain Portugal, Pepe tidak diturunkan pada perlawanan itu dan dijangka kembali beraksi ketika bertemu Atletico.
Mourinho sebelum ini menyatakan Atletico tidak mempunyai komitmen pada saingan Piala Europa minggu ini dan beliau turut mengambil kesempatan selepas pasukannya layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara dengan melakukan beberapa pertukaran ketika bertemu Dinamo.

Jurulatih Atletico, Gregorio Manzano bagaimanapun mempunyai rekod memberangsangkan di Bernabeu.
Dengan empat kemenangan dalam 14 perlawanan di sana termasuk kemenangan 5-1 bersama Mallorca pada 2003, Manzano mempunyai pengalaman luas untuk mendapatkan keputusan terbaik.

Bagaimanapun, Atletico yang menduduki tempat kesembilan dan kurang 15 mata di belakang Real tidak pernah meraih kemenangan di tempat lawan musim ini dengan hanya menjaringkan dua gol dalam lima perlawanan. - AFP

No comments:

Post a Comment