Wednesday 23 November 2011

Real belasah Zagreb (24.11.2011)

MADRID: Real Madrid tidak berdepan masalah meraih kemenangan kelima berturut-turut dalam Kumpulan D Liga Juara-Juara selepas menumbangkan kelab Croatia, Dinamo Zagreb, 6-2, semalam.
Tuan rumah membuktikan keunggulan meskipun merehatkan beberapa pemain utama antaranya Iker Casillas, Cristiano Ronaldo dan Pepe dengan gol-gol disumbang Karim Benzema dan Jose Callejon yang masing-masing meledak dua gol manakala Gonzalo Higuain dan Mesut Ozil masing-masing satu.

Wakil Croatia itu hingga kini gagal mengutip sebarang mata. Fatos Beciraj dan Ivan Tomecak meledak dua gol sagu hati pelawat tapi Zagreb kekal di tangga tercorot Kumpulan D.
Ajax dan Olympique Lyon pula seri tanpa jaringan dalam satu lagi perlawanan kumpulan itu dan kedua-dua pasukan perlu menunggu hingga perlawanan terakhir bagi mengetahui nasib mereka untuk menyertai Real ke pusingan kedua.

Real setakat ini sudah menjaringkan 16 gol dan hanya melepaskan dua gol pada saingan Liga Juara-Juara.

Peningkatan prestasi barisan Jose Mourinho pada musim kedua di Real meletakkan kelab itu antara pilihan utama untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara pada aksi final yang bakal berlangsung di Allianz Arena di Munich, Mei depan.
Bekas jurulatih Porto, Chelsea dan Inter Milan itu nyata gembira dengan keputusan itu.

“Biasanya pada perlawanan seperti ini, pemain tidak berdepan tekanan namun malam ini kami bermain seperti aksi final dan menghiburkan penonton. Disiplin setiap pemain amat tinggi,” katanya.
Real Bakal bertemu Atletico Madrid, Sabtu ini dan Mourinho gembira kerana beberapa pemain utama dapat direhatkan.

“Ia malam yang cukup sempurna.” - AFP

No comments:

Post a Comment