Saturday 12 November 2011

Ratu mendengus (13/11/2011)

PEMAIN nombor satu dunia, Caroline Wozniacki mendesak supaya tindakan diambil terhadap pemain yang mendengus selain mendakwa sebahagian daripada pesaingnya menjerit kerana mahu mengganggu tumpuan lawan mereka. Ini adalah 10 pemain yang mempunyai jeritan paling kuat dalam jelajah wanita.
1. Maria Sharapova, 101 decibel (Russia) 
Ratu jeritan yang tiada tanding. Mula melakukannya sejak berusia empat tahun tetapi anehnya ia tidak kedengaran sewaktu latihan. Sering mendengus ketika melakukan pukulan slice. Bunyinya menyamai bunyi kapal terbang mendarat.

2. Michelle Larcher De Brito, tahap decible tidak diketahui (Portugal).
Pewaris gelaran Maria. Jeritan nyaring dan sentiasa konsisten. Pengalaman sama seperti berdiri di depan penonton perlumbaan Formula Satu. Pemain lawan, khususnya, Aravane Rezai dari Perancis sering merungut mengenainya. Jeritannya memaksa pegawai tenis dalam kejohanan grand slam mengadakan mesyuarat sebelum penganjuran Wimbledon.


3. Monica Seles, 93.2 decibel (Amerika Syarikat)

Seorang daripada pemain wanita terawal mendengus di gelanggang dan menjadi inspirasi ‘meter dengusan’ di Centre Court.

Anehnya, dia memiliki dua nada jeritan, dimulakan bunyi keluhan dan diikuti dengusan bernada tinggi. Lebih menghairankan apabila dia mampu menurunkan nada dengusan apabila diberi amaran bakal didenda di Wimbledon, biarpun kini mengaku kesal melakukannya.


4. Serena Williams, 88.9 decibel (Amerika Syarikat).

Mengeluarkan dengusan agresif bernada rendah tetapi semakin meningkat apabila teruja atau menggunakan kekuatan fizikal. Tidak melenting apabila rakaman dengusannya disiarkan dalam satu episod rancangan Friday Night with Jonathan Ross tetapi kekal sebagai antara bunyi paling tidak disenangi dalam jelajah.


5. Venus Williams, 85 decibel (Amerika Syarikat).

Lebih ‘senyap’ daripada adiknya. Antara paling diingati adalah satu perlawanan paling menghiburkan dalam sejarah Wimbledon, sewaktu menentang Maria pada 2007, apabila turut ditertawakan pengulas. Mulanya kelihatan lucu tetapi akhirnya menyakitkan hati.


6. Victoria Azarenka, 83.5 decibel (Belarus)

Antara pemain baru yang menggemari jeritan pendek. Nada dan bunyinya konsisten dan mula terkenal tanpa kelibat Maria dalam jelajah. Dari segi decible, jeritannya menyamai bunyi direkodkan di stesen kereta api.


7. Elena Bovina, 81 decibel (Russia)

Jeritannya terkenal dalam jelajah wanita. Jeritannya berganda tetapi lebih lantang. Bunyinya cukup menyakitkan hati.


8. Anna Kournikova, 78.5 decibel (Russia)

Hanya bising ketika tertekan. Bunyi dengusannya kedengaran lebih klasik.


9. Kim Clijsters, 75 decibel (Belgium)

Hampir sama seperti Anna. Hanya didengari ketika tertekan, sewaktu memukul bola.


10. Elena Dementieva, 73 decibel (Russia)

Memiliki dua jenis jeritan, jeritan bernada tinggi dan biasa kedengaran pada rali biasa dan mata pertama. Kedua adalah pekikan dan biasa didengari ketika mendapat mata penting dan menjelang akhir rali panjang. Sering didengari ketika tertekan.

No comments:

Post a Comment