Sunday 20 November 2011

Rahmad enggan kalah lagi (21/11/2011)

IGAUAN buruk kekalahan di final Sukan Sea 1997 di Stadium Gelora Bung Karno terus menghantui Indonesia meskipun mereka yakin inilah detik terbaik untuk kembali mengecapi kejuaraan dengan menewaskan Malaysia hari ini.
Malah tekanan memuncak mula menghimpit Indonesia yang perlu meraih emas bola sepak bagi melengkapkan status juara keseluruhan temasya edisi ke-26 ini.

Justeru jurulatih skuad Garuda itu, Rahmad Darmawan mahu pemainnya segera melupakan kejayaan menumpaskan finalis dua tahun lalu Vietnam 2-0 pada separuh akhir kelmarin kerana misi mereka masih belum selesai.
“Saya akan memaklumkan kepada semua pemain supaya melupakan kemenangan ini kerana kami perlu berjuang lagi di final.

“Kami sedar Malaysia mempunyai pemain yang berpengalaman khususnya di bahagian pertahanan, mereka juga mempamerkan koordinasi permainan yang baik,” katanya.

Rahmad berkata, beliau bersedia memerangkap Malaysia seperti yang dilakukan ke atas Vietnam meskipun kemungkinan bakal kehilangan kapten, Egi Melgiansyah yang mengalami kecederaan.
“Saya mungkin akan menukar pemain kerana faktor keletihan dan kecederaan tapi permainan kami tetap sama iaitu menyerang dan sentiasa memberi tekanan kepada pasukan lawan,” katanya.

Kali terakhir Indonesia muncul juara pada 1991 di Manila manakala mereka tumpas di tangan Thailand menerusi penentuan penalti 2-4 selepas terikat 1-1 dalam permainan sebenar yang mencetuskan rusuhan penonton.

No comments:

Post a Comment