Sunday 20 November 2011

Png puas (21/11/2011)

HANYA satu acara saja lagi tinggal sebelum skuad renang berirama negara mengulangi pencapaian 2001 dengan menyapu bersih semua emas yang di pertandingkan di temasya di Kuala Lumpur 10 tahun lalu.
Semalam, perenang berirama negara sekali lagi pamer aksi cemerlang dengan menyapu bersih dua emas yang dipertandingkan iaitu dalam acara duet dan berpasukan rutin bebas.

“Setakat ini saya amat puas kerana lebih sedekad menunggu untuk beraksi dan merangkul emas Sukan Sea, baru kali ini tercapai,” kata Png Hui Chuen yang tidak beraksi di KL’01.
“Saya sepatutnya sudah bersara dari Sukan ini selepas gagal melayakan diri ke Olimpik 2008, tapi selepas mengetahui Sukan Sea kali ini mempertandingkan renang berirama, saya bertahan dulu untuk mencapai cita-cita memenangi emas.” Hui Chuen yang sekali lagi bergandingan dengan Katrina Ann Abdul Hadi mempamerkan gemalai tari di atas dan di bawah permukaan air dianugerahkan 37.738 mata dalam rutin teknikal dan 38.313 mata dalam persembahan artistik, terus berada di tangga teratas dengan markah keseluruhan 76.051 mata.

Perak milik Singapura yang memungut 72.476 mata menerusi dua perenang mereka Stephanie Chen dan Crystal Yap. Gangsa milik peserta tuan rumah SamarabTalia Pattiasina-Tri Eka Sandiri (Indonesia).

Justeru, Hui Chuen berazam untuk terus kekal bergandingan dengan Katrina untuk memburu tempat ke Olimpik London 2012.
“Kemenangan ini memberikan motivasi untuk saya terus berjuang. Saya harap kali ini berpeluang beraksi di Olimpik, selepas itu baru bersara,” katanya yang kini berusia 27 tahun.

Penguasaan perenang negara berterusan di kolam renang tanpa mengendahkan ejekan penyokong tuan rumah apabila pasukan 10 perenang terjun menguasai arena.
Diketuai dua perenang berpengalaman Hui Chuen dan Katrina, Tan May Mei, Mandy Yap, Tasha Jane Taher Ali, Emmanuelle Mah, Ling Yeo Pei dan Zyanne Lee terlalu cemerlang memikat juri sehingga dianugerahkan 75.825 mata.

Pingat perak milik Indonesia 73.925 mata manakala gangsa, Thailand 72.113 mata. Kemenangan dalam acara berpasukan rutin bebas itu adalah pingat keempat perenang negara yang setakat ini menyapu bersih semua emas. Hari ini adalah hari terakhir renang berirama dan satu lagi emas dipertandingkan.

No comments:

Post a Comment