Thursday 24 November 2011

Perlis gagal turun barisan terkuat (25.11.2011)

HASRAT Perlis untuk membariskan skuad terkuat pada kempen peringkat kumpulan Piala Emas Raja-Raja 2011 bermula di Kota Bharu, hari ini berkubur apabila beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan kerana melangsungkan perkahwinan.
Antara pemain terbabit ialah pemain sayap lincah, Mohd Faiz Subri yang bakal melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya pada Ahad ini dan tonggak pertahanan kanan, Phul Sakh Lum, hari ini.

Pada kempen peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamed IV itu, Perlis yang juga juara Piala Agong 2010 diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Kelantan, Kuala Lumpur dan Melaka.
Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Melayu Perlis, Ku Besry Ku Aziz berkata, ketiadaan pemain terbabit bagaimanapun tidak menjejaskan persiapan pasukan.

Menurutnya, ini kerana terdapat tiga lagi tonggak yang juga bekas pemain skuad Liga Super Perlis, pemain tengah, Wan Khairul Faiz Wan Kamaruddin dan Mohd Alif Aswat Baharin serta penyerang, Syed Mohd Abd Ghaffar Syed Amir disenaraikan bagi memantapkan cabaran.

“Selain itu, kami turut menyenaraikan bekas tonggak pertahanan Liga Super yang menjuarai Piala Malaysia 2004 dan 2006 dan Piala Liga Super 2005, Adrien Jurad Chamrong yang bertindak selaku ketua pasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment