Saturday 12 November 2011

Pengorbanan Fhahmin (13/11/2011)

MOHD Fhahmin Abdul Mutalib yang menerima lonjakan dalam karier perlumbaan apabila dipelawa beraksi dalam kategori CP115 dari kategori Persendirian pada pusingan lalu berharap dapat mempamerkan prestasi lebih baik pada pusingan kedua terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (Selatan) pada 12 dan 13 November ini.
Sebelum tampil buat pertama kali dalam kelas CP115 di Melaka (Pusingan 8), Fhahmin adalah pesaing utama Wazir Abdul Razak yang baru sahaja dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Persendirian minggu lalu.

Namun, dia terpaksa mengorbankan persaingan untuk merebut kejuaraan apabila pihak pengurusan Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline memilihnya bagi menggantikan Tengku Amirul Haffiruddin yang membuat keputusan untuk beraksi dalam kategori Wira.
Fhahmin sebenarnya bukanlah asing dengan Kejuaraan ini. Dia mula menyertai kategori Persendirian pada tahun 2009, 2010 dan tampil cemerlang pada tahun ini apabila meraih tiga kedudukan tempat kedua ketika di Kangar (Pusingan 1), Batu Kawan (Pusingan 2), dan Teluk Intan (Pusingan 5) sebelum muncul juara di Alor Setar (Pusingan 6).

Bangga dengan peluang yang diberikan, Fhahmin berkata: “Tidak boleh digambarkan betapa gembiranya saya pada ketika ini. Perasaan saya bercampur baur kerana menjadi pelumba untuk pasukan ternama adalah impian saya sejak mula berlumba di Cub Prix. Terima kasih kepada Petronas Syntium Moto Yamaha Raceline kerana memberikan saya peluang ini!” Pelumba berusia 20 tahun itu kemudiannya menceritakan mengenai sasarannya pada perlumbaan akan datang dan juga pada musim hadapan serta mahu meneruskan aksi bersama pasukan itu namun setakat ini tiada sebarang keputusan mengenainya. “Saya perlu menggunakan sepenuhnya peluang yang diberikan ini dan buat masa sekarang tumpuan utama saya adalah untuk meningkatkan lagi kemahiran saya dan belajar lebih banyak perkara bagi mencapai sasaran menamatkan perlumbaan di kalangan 10 pelumba terbaik. Saya perlu menggandakan usaha saya kerana saingan kategori ini begitu kompetitif dan semua pelumba cukup handal dan agresif.” Ketika ditanya adakah dia menyesal kerana terpaksa melepaskan peluang mengejar takhta kategori Persendirian, dia berkata: “Sudah tentu ada sedikit perasaan sedih namun ini adalah satu pengorbanan bagi diri saya dan saya perlu melakukannya kerana peluang seperti ini bukan senang untuk diperoleh. Lagipun saya percaya ia akan dapat membantu saya pada masa hadapan kerana saya menerima pengalaman dan pendedahan berharga bersaing dengan pelumba dan pasukan yang handal,” jelas Fhahmin yang berjaya menamatkan perlumbaan CP115 pertamanya di kedudukan ke-11.

No comments:

Post a Comment