Tuesday 22 November 2011

Penembak gagal capai sasaran tiga emas MSN (23/11/2011)

PENCAPAIAN skuad menembak negara disifatkan sebagai sederhana biarpun gagal mencapai sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu tiga emas.
Mereka sekadar membawa pulang dua emas menerusi Nur Suryani Mohamed Taibi dalam acara 50m Rifle tiga Posisi dan 10m Air Rifle dengan keseluruhan pencapaian skuad menembak pada edisi ke-26 adalah dua emas, empat perak dan tiga gangsa.

Pencapaian itu bagaimanapun memperbaiki pencapaian dua tahun lalu di Laos iaitu enam perak dan lima gangsa.
Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) bagaimanapun sekadar meletakkan sasaran satu emas selepas tuan rumah memutuskan untuk tidak menyenaraikan acara berpasukan. Namun pujian harus diberikan kepada atlet menembak kerana berjaya mengharungi perang psikologi yang cuba dicetuskan tuan rumah seawal tiba di Indonesia. Larangan membawa masuk peluru menyukarkan sesi latihan serta mengganggu konsentrasi penembak selain berdepan keracunan makanan apabila penembak kita berdepan dengan masalah cirit-birit.

Pengurus pasukan, Musli Mustakim berkata, masalah itu akan cuba ditangani sebaik mungkin dan ia adalah sebahagian daripada pengalaman.

“Barisan penembak kita antara yang terbaik dan sebenarnya saya yakin kita mampu meraih lebih banyak pingat seandainya acara pasukan dipertandingkan,” katanya. Kemunculan beberapa atlet perlapis seperti Muhamad Shahril Sahak, Mohd Hadafi Jaafar yang memberikan perak selain Muhammad Ezuan Mohammad dan Johnathan Woong memberi pertanda kebangkitan skuad menembak seandainya diberi lebih banyak peluang menyertai pertandingan.
Namun aksi Bibiana Ng dan Hasli Izwan Md Desa agak mengecewakan.

Begitupun pingat yang diraih di Sukan Sea bukan satu tiket untuk mereka berlapang dada kerana belum ada penembak melayakkan diri ke Sukan Olimpik London.

No comments:

Post a Comment