Tuesday 22 November 2011

Pencapaian kedua terbaik (23/11/2011)

EMAS dihadiahkan sukan bukan pilihan menjadikan temasya Sukan Sea Indonesia ke-26 sebagai kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas Korat pada 2007.
Sepuluh emas yang terhasil menerusi acara ski air, lawan pedang, snuker, renang terbuka dan 4x400m lari berganti-ganti melengkapkan kejayaan 608 kontinjen negara pada temasya ini.

Empat emas dihasilkan daripada sukan air menerusi keluarga Hanifah Yoong iaitu Phillipa dengan dua emas, Aaliyah dan Alex Yoong.
Malah Aaliyah melakarkan sejarah Sukan Sea apabila muncul atlet termuda pada usia lapan tahun meraih emas sejak sukan ini diperkenalkan pada 1959.

Manakala atlet senior dalam snuker, Sam Chong yang bergandingan dengan Thor Chuan Leong, Heidi Gan dalam renang terbuka dan kuartet 4x400m turut melakar nama sebagai penyumbang pingat.

Pujian harus diberikan kerana mereka beraksi demi negara namun kita perlu realistik kerana sukan ini, kecuali lawan pedang, bukanlah acara yang dipertandingkan di Sukan Asia, Komanwel mahupun Olimpik.
Begitupun kejayaan atlet seperti Joshua Koh yang memberikan dua pingat emas dalam acara lawan pedang perlu diberikan pujian.

Ketika pertelingkahan pucuk pimpinan persatuan itu masih berterusan, Joshua bangkit membalas jasa MSN yang menghantarnya menjalani latihan di Itali.
Pencapaian dua emas dari lawan pedang itu adalah yang terbaik pernah dilakar atlet negara sepanjang penyertaan mereka di Sukan Sea.

No comments:

Post a Comment