Sunday 13 November 2011

Pacquiao mantap (14/11/2011)

LAS VEGAS: Bintang tinju Filipina, Manny Pacquiao menundukkan lawannya, Juan Manuel Marquez, kelmarin, sekali gus melakar kemenangan dalam 15 saingan. Namun, kejayaannya itu menghangatkan lagi kontroversi dengan lawannya.
Dua pengadil mengesahkan kemenangan kepada Pacquiao dengan kiraan 116-112 dan 115-113 sementara yang ketiga mencatat seri 114-114. Namun, dengan dua kemenangan dan satu seri yang diraih peninju kidal itu, dijangka akan membawa kepada saingan ulangan dengan lawannya, Mei depan.

“Kini jelas saya memenangi pertarungan,” kata Pacquiao.
Bagaimanapun keputusan itu tidak disenangi penyokong Marquez lantas mengejek Pacquiao dengan kuat hinggakan komen selepas saingan yang dilaporkan menerusi mikrofon gagal didengar dengan jelas.

“Mereka adalah penyokong Marquez dan saya memahami perasaan mereka,” kata Pacquiao.

Sebelum ini, Marquez mendakwa dia adalah juara sebenar pada pertarungan 2004 yang mencatat seri. Saingan ulangan pada 2008 membantunya merintis laluan ke pertarungan ketiga dan jika timbul sebarang keraguan lagi, kemungkinan ia menjurus kepada pusingan keempat.

“Teraniaya dalam dua saingan dan ini adalah yang terburuk. Saya memenangi pertarungan dengan tumbukan jelas,” kata Marquez yang mengangkat kedua tangannya untuk meraikan kemenangan di pusingan final, namun disisihkan sekali lagi.

“Saingan hari ini adalah yang terburuk,” kata jurulatih Marquez, Ignacio Beristain.

Pertarungan paling sengit ini akhirnya berakhir suram hingga mendorong promoter Bob Arum untuk menggunakan fasal saingan ulangan di dalam kontrak.

“Saya cuba untuk mengadakan saingan ulangan pada Mei 2012, saya ingin sekali menentukan siapakah juara sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan itu, Pacquiao mengatakan dia tidak mempunyai sebarang masalah.

“Saya bersedia untuk saingan ulangan itu,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment