Monday 14 November 2011

NS terima ‘durian runtuh’ (15/11/2011)

KEJAYAAN meraih kejuaraan Piala Malaysia membolehkan skuad Negeri Sembilan memperoleh ‘durian runtuh’ apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan pemberian bonus RM300,000 kepada pengurusan dan pemain skuad.
Pemberian itu menjadikan skuad itu menerima bonus keseluruhan RM500,000 bagi musim ini apabila RM200,000 sudah diagihkan berikutan kejayaan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Selain hadiah wang, skuad Hoben Jang Hoben juga akan dibawa melawat ke Australia pada akhir bulan depan selepas menamatkan tiga perlawanan persahabatan iaitu menentang skuad kebangsaan Bangladesh pada 20 November diikuti menentang PKNS Selangor, 23 November, dan Kelantan, 29 November.
Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai komitmen pengurusan pasukan yang mempamerkan semangat juang tinggi hingga berjaya menjulang trofi keagungan itu.

Katanya, walaupun sasaran awal diletakkan kepada pasukan itu untuk memenangi tiga piala utama iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia, namun disebabkan masalah kecederaan pemain yang melanda pasukan, dua daripada piala itu gagal dicapai.

“Bagaimanapun kejayaan merangkul Piala Malaysia lebih bermakna kerana trofi keagungan bola sepak tempatan ini menjadi rebutan setiap pasukan.

“Syabas kepada pemain dan PBNS akan berusaha membentuk skuad mantap sebagai persediaan menghadapi musim depan dalam usaha mempertahankan trofi ini,” katanya pada majlis makan tengah hari meraikan pegawai dan pemain skuad itu di Klana Resort Seremban, semalam.

No comments:

Post a Comment