Friday 11 November 2011

Nazmi ‘lulus ujian’ (11/11/2011)

MUNGKIN ramai yang tidak sedar jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Ong Kim Swee membuat perjudian besar dalam memastikan kemenangan 2-1 Malaysia ke atas Thailand dalam perlawanan kedua Kumpulan A Sukan Sea Indonesia kelmarin.
Tindakan beraninya merombak barisan pemain termasuk mengeluarkan pemain lebih berpengalaman, K Gurusamy dan membenarkan pemain berusia 17 tahun, Muhd Nazmi Faiz Mansor untuk mengemudi barisan tengah ternyata membuahkan hasil.

Kehadiran Nazmi yang dipanggil pada saat-saat akhir bagi menyertai skuad negara menggantikan Gary Steven Robbart memberikan dimensi baru dalam permainan Malaysia berbanding ketika seri 0-0 dengan Singapura pada aksi pertama.
Bagi Nazmi, pemain kelahiran Kuala Lumpur, dia lega kerana berjaya melepasi ujian terbesar di peringkat antarabangsa.

“Saya gembira kerana dapat membantu rakan sepasukan menewaskan Thailand tapi saya tidak boleh berpuas hati sebaliknya terus berusaha kerana kami masih ada dua lagi perlawanan (Kemboja dan Indonesia).

“Perlawanan dengan Thailand adalah perlawanan terbesar setakat ini dan saya tidak sangka diberikan peluang untuk beraksi dalam perlawanan itu,” katanya.

Bagaimanapun agak membimbangkan apabila Nazmi terpaksa dikeluarkan pada minit ke-53 kerana cedera kaki kiri dan digantikan dengan Gurusamy.

“Saya cuma mengalami kecederaan kecil saja, mungkin esok (hari ini) sudah boleh berlatih semula,” katanya yang terpaksa menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia bermula Isnin depan.

Mengulas mengenai peluangnya untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Kemboja Ahad ini, Nazmi menyerahkan keputusan kepada jurulatih dan sentiasa bersedia memikul tugas yang diberikan.

No comments:

Post a Comment