Wednesday 9 November 2011

Natasha teruja aksi sulung (10/11/2011)

SIAPA yang tidak kenal bapanya, Wah Idris Wah Abdul Hamid, seorang komposer termasyhur tanah air.
Namun mungkin ramai yang kurang mengenali anak perempuannya, Natasha Ines Wah Idris yang mencari populariti menerusi acara showjumping.

Natasha, 19, pelajar jurusan politik dan ekonomi di Universiti Durham, England, adalah antara lima atlet skuad showjumping negara yang tampil di Jakarta berusaha mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Korat, empat tahun lalu.
Dia pernah melunakkan suaranya dalam lagu ‘Malaysia Truly Asia’ ciptaan bapanya sendiri tiga tahun lalu, namun sukan ekuestrian lebih dekat di hatinya.

“Menyanyi bagi saya sekadar satu hobi tapi showjumping boleh dijadikan karier secara lebih serius,” katanya ketika ditemui di Jakarta, semalam.

Sukan Sea 2011 adalah pertandingan antarabangsa pertama bagi Natasha yang merangkul pingat emas acara berpasukan buat Kuala Lumpur pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka, tahun lalu.

“Sudah tentu saya berasa teruja kerana ini penampilan sulung saya pada Sukan Sea dan juga pertandingan antarabangsa. Tapi sebenarnya saya agak gementar dan sedikit tertekan,” katanya.

Kelmarin, pengurus skuad ekuestrian Chevy Beh menyuarakan keyakinan anak buahnya mampu membawa pulang dua pingat emas dalam acara showjumping individu dan berpasukan.

Selain Natasha, skuad berpasukan showjumping turut diwakili Tunku Nazroff Tunku Moksin, Nabil Fikri Ismail, Nurlin Saleh dan Sharmini Christina Ratnasingham.

No comments:

Post a Comment