Sunday, 13 November 2011

Nasib berbeza skuad badminton lelaki, wanita (14/11/2011)

NASIB berbeza dialami skuad badminton lelaki dan wanita negara pada temasya Sukan Sea ke-26 semalam.
Skuad wanita seperti dijangka tidak mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Vientiane dua tahun lalu dan terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas kecundang 1-3 di tangan Indonesia pada separuh akhir di Istora Senayan.

Skuad lelaki pula melangkah mudah ke perlawanan akhir berpasukan lelaki esok selepas mengetepikan Singapura 3-0 pada separuh akhir dan akan bertemu tuan rumah yang terpaksa bekerja keras sebelum mengatasi Thailand 3-2.
Liew Daren memulakan langkah cemerlang dengan menundukkan Derek Wong 21-17, 21-18 manakala beregu pertama, Lim Khim Wah-Goh Wei Shem memastikan mata kedua selepas mudah menewaskan Liu Yi-Terry Yeo 21-13, 21-13.

Namun perseorangan kedua negara, Arif Latif terpaksa bekerja keras selama hampir sejam sebelum mengutip mata kemenangan dengan mengalahkan Ashton Chen 21-14, 12-21, 21-15.

“Ini perlawanan pertama saya di sini. Saya kurang berpuas hati dengan corak persembahan keseluruhan tapi saya bersyukur kerana berjaya membantu pasukan mara ke perlawanan akhir.

“Saya harap dapat lebih bersedia dengan permainan lebih mantap pada perlawanan akhir nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment