Monday 14 November 2011

Misi sukar Thailand (15/11/2011)

BANGKOK: Skuad bola sepak Thailand berharap menceriakan rakyat negara itu yang dilanda bencana banjir dengan menewaskan Australia, hari ini sekali gus menghidupkan kembali impian mereka untuk beraksi di Piala Dunia.
Australia bernasib baik ketika menumpaskan Thailand di Brisbane, September lalu dan lawan mereka itu berharap kelebihan beraksi di tempat sendiri akan memberi keputusan lebih positif untuk menceriakan penyokong mereka selepas lebih sebulan berdepan bencana banjir.

Thailand tewas 0-3 kepada Arab Saudi, Jumaat lalu dan berdepan tugas sukar untuk layak ke pusingan seterusnya pada saingan kelayakan Piala Dunia Brazil 2014.
Mereka kini menduduki tangga ketiga Kumpulan D selepas mengumpul empat mata daripada empat perlawanan, ketinggalan satu mata di belakang Arab Saudi yang dikendalikan Frank Rijkaard dengan baki dua perlawanan lagi. Pendahulu kumpulan, Australia gagal mengekalkan rekod kemenangan selepas tumpas kepada Oman, 0-1 Jumaat lalu meskipun menurunkan pemain bintang seperti Harry Kewell, Mark Schwarzer dan Brett Emerton. Pertemuan Thailand-Australia ditukar ke Stadium Nasional Bangkok selepas lokasi asal digunakan untuk menempatkan mangsa banjir.

Thailand kini berdepan bencana banjir paling buruk dalam tempoh setengah abad yang menyaksikan kematian lebih 560 rakyatnya dan memusnahkan berjuta rumah serta mata pencarian penduduk Thailand. Australia memerlukan hanya satu mata di Bangkok untuk melangkah ke pusingan keempat di kelayakan Asia sekali gus menyertai juara Asia, Jepun, Uzbekistan dan Jordan.- AFP

No comments:

Post a Comment