Wednesday 9 November 2011

Masalah tambahan (10/11/2011)

LONDON: Manchester City berharap Carlos Tevez menjalani latihan semalam meskipun penyerang itu dilapor kembali ke Argentina kelmarin.
Pemain antarabangsa Argentina itu berlepas pulang pada hari sama dia dilapor tidak akan membantah dakwaan kes membabitkan insiden di Bayern Munich.

“Dia pergi melawat keluarganya,” kata jurucakap pemain berusia 27 tahun itu, Paul McCarthy.
Tevez mungkin dikenakan tindakan disiplin jika tidak turun berlatih.

Hampir keseluruhan pemain City memikul tugas bersama skuad kebangsaan masing-masing tapi Tevez yang tidak beraksi sejak menang 2-0 ke atas Birmingham di Piala Carling pada September, sepatutnya bersama City untuk meneruskan program latihan. Penyerang itu tidak terpilih bersama skuad Argentina bagi menghadapi perlawanan menentang Bolivia dan Colombia pada minggu depan.

“Tevez sedar dia perlu kembali cergas sepenuhnya. Saya tidak boleh komen lebih lanjut sehinggalah dia kembali,” kata McCarthy.

Kelmarin adalah hari cuti tapi Tevez sepatutnya kembali berlatih di pusat latihan Carrington pagi semalam.

Bekas pemain Manchester United itu didapati bersalah kerana melanggar lima klausa kontrak pada perlawanan menentang Bayern di saingan Liga Juara-Juara pada September lalu.

Pengurus, Roberto Mancini mahu memasukkan Tevez dari bangku simpanan ketika permainan berbaki 35 minit tetapi pemain itu enggan memanaskan badan.

Dia kemudiannya digantung selama dua minggu dan hukuman penggantungan gajinya selama empat minggu dikurangkan kepada separuh selepas campur tangan Persatuan Bola Sepak Profesional.

Selepas tarikh rayuan berakhir Selasa lalu, masa depan Tevez bersama City akan diketahui pada Januari ini.

Difahamkan Tevez mahu meninggalkan Stadium Etihad pada musim perpindahan Januari ini. - Agensi

No comments:

Post a Comment