Friday, 25 November 2011

Lazio uji pendahulu liga (26.11.2011)

ROME: Lazio berdepan ujian getir di gelanggang sendiri apabila bakal bertemu pendahulu liga, Juventus di Stadio Olimpico, hari ini dalam usaha untuk membuktikan mereka juga mampu menyaingi pasukan utama untuk merebut kejuaraan.
Lazio yang menduduki tangga kedua liga terus mengejar Juventus dan hanya dibezakan jaringan gol tetapi Juventus beraksi kurang satu perlawanan.

Pemain tengah Lazio, Cristian Ledesma berkata, masih terlalu awal meramal hala tuju liga tapi perlawanan itu bakal memberi kelebihan buat pemenang.
“Masih terlalu awal untuk mendakwa ia pertembungan antara dua pasukan yang merebut kejuaraan, tetapi yang pasti kami menduduki dua tempat teratas.

“Saya rasa kami beraksi dengan baik menentang pasukan gergasi termasuk ketika bertemu Napoli pada separuh masa kedua minggu lalu. Jika serangan balas menjadi ketika itu, pasti kami mampu menang.

“Sama-sama kita saksikan sama ada kami mampu meneruskan rentak cemerlang sejak awal musim.
“Prestasi kami mantap dan bakal bertemu lawan kuat yang tidak membariskan Alessandro Del Piero dan Milos Krasic.

“Berdasarkan aksi mereka sebelum ini, Juventus adalah pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan liga.” Juventus satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas pada saingan liga musim ini dan akan bertemu Napoli, Selasa ini. - AFP

No comments:

Post a Comment