Monday 14 November 2011

Korea penghalang (15/11/2011)

KOREA Selatan bakal menjadi penghalang utama skuad negara dalam misi untuk menamatkan kemarau layak ke Sukan Olimpik 2012 di London tahun depan selepas diundi bersama seteru utama mereka itu pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik yang dijadual berlangsung di Dublin, Ireland bermula 11 hingga 18 Mac, tahun depan.
Berdasarkan kenyataan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), selain pasukan ranking keenam dunia itu, turut diundi bersama skuad negara ialah Ireland, Russia, Chile serta Ukraine.

Skuad negara yang menduduki ranking ke-14 dunia dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi empat lawannya yang menduduki ranking lebih rendah, namun Korea adalah satu-satunya pasukan mampu menggugat peluang skuad negara.
Berdasarkan dua aksi terakhir kedua-dua pasukan, skuad negara berjaya mengatasi lawan mereka pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, Mei lalu tetapi Korea menewaskan anak buah Tai Beng Hai di saingan Trofi Kejuaraan Asia di China.

“Bagi saya, walaupun di mana-mana kumpulan sekalipun kita diletakkan, skuad negara pasti bertemu dengan lawan yang sukar. Selain Korea, saya rasa tuan rumah, Ireland juga adalah pasukan yang kuat.

“Tapi seperti yang sering saya katakan sebelum ini, matlamat utama adalah untuk layak ke Sukan Olimpik dan untuk itu, kami perlu beraksi sebaik mungkin,” kata Beng Hai.

Selain Dublin, dua lagi pusingan kelayakan untuk pasukan lelaki akan berlangsung di New Delhi, India pada 15 hingga 26 Februari serta di Kakamigahara, Jepun (25 April hingga 6 Mei).

Untuk di New Delhi, tuan rumah India diundi bersama Kanada, Perancis, Poland, Mesir dan Amerika Syarikat. Sementara di Kakagimahara, Jepun yang beraksi cemerlang di saingan antarabangsa bakal berdepan ujian getir dari Sepanyol yang menduduki ranking keempat dunia selain turut diundi bersama China, Austria, Republik Czech serta Cuba.

Hanya pemenang bagi setiap kumpulan layak secara automatik ke Sukan Olimpik tahun depan sekali gus mengikut jejak langkah sembilan lagi pasukan yang sudah menempah tiket ke temasya terbesar dunia itu iaitu Australia, Argentina, Belgium, Jerman, Britain, Belanda, New Zealand, Pakistan dan Afrika Selatan.

Kali terakhir skuad negara layak ke Sukan Olimpik adalah pada edisi 2000 di Sydney, Australia manakala percubaan dua edisi selepas itu iaitu di Greece (2004) dan Beijing (2008) menemui kegagalan.

No comments:

Post a Comment