Wednesday 9 November 2011

Kenangan manis (10/11/2011)

MISTER Potato, rakan snek global rasmi untuk kelab gergasi bola sepak dunia, Manchester United dengan kerjasama AirAsia X, peneraju penerbangan tambang murah jarak jauh di Asia menerbangkan seorang penyokong tegar Red Devils di Malaysia, Muhammad Anas Sadiq Aminuddin, 16, ke England, baru-baru ini.
Muhammad Anas Sadiq yang meminati Manchester United menghidap penyakit Duchenne Muscular Dystrophy (DMD) sejak kecil yang menyebabkan pengecilan otot, kesukaran bernafas dan berjalan. Namun, semangat dan dedikasinya menangani penyakit ini begitu membanggakan dan menjadi inspirasi buat semua.

Kerjasama Mister Potato dan AirAsia X menyaksikan mereka menerbangkan Muhammad Anas Sadiq dan ibu, Siti Nazriah Diman serta ayah, Aminuddin Abu Bakar selain media dan juga wakil Mister Potato.
Sepanjang berada di England dari 2 hingga 6 November lalu, Muhammad Anas Sadiq mendapat pengalaman indah kerana berpeluang menonton perlawanan eksklusif membabitkan kelab itu di Old Trafford selain jamuan makan malam dengan bekas ketua pasukan kelab Gary Neville, menjelajahi setiap sudut Stadium Old Trafford, beramah-mesra dan mendapatkan tandatangan pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson dan seluruh pasukan Manchester United di Carrington yang menjadi pusat latihan mereka.

Lebih membanggakan Mister Potato turut membuat ucapan istimewa untuk Muhammad Anas Sadiq yang terpapar di papan iklan digital ketika perlawanan menentang Sunderland di Old Trafford yang turut disaksikan 1.8 bilion penonton di serata dunia ketika penyokong Manchester United meraikan ulang tahun ke-25 Sir Alex Ferguson selaku pengurus kelab gergasi itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mister Potato dan Mamee, Datuk Wira Pang Tee Chew berkata: “Kami dengan kerjasama AirAsia X amat berbesar hati dapat merealisasikan impian seorang peminat Manchester United untuk melalui pengalaman yang begitu bermakna. “Dengan termeterainya kerjasama kami dengan Manchester United baru-baru ini, inilah peluang kami untuk merealisasikan impian lebih ramai lagi penyokong kelab tersebut untuk menikmati pengalaman istimewa ini bersama Mister Potato.” Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani pula berkata, kerjasama antara AirAsia X dan Mister Potato ini adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka. “Kami sentiasa bersama golongan yang kurang bernasib baik dan berharap impian Muhammad Anas Sadiq sudah pun direalisasikan. Tiada perasaan yang lebih baik daripada melihat senyuman yang terukir di wajahnya dan kami berdoa agar kesihatannya bertambah baik,” katanya.

No comments:

Post a Comment