Sunday 13 November 2011

Joshua terkejut (14/11/2011)

DIA sendiri bagaikan terkejut apabila memenangi pingat emas acara epee individu lelaki pada temasya Sukan Sea ke-26 di Balairung Ui, Depok, semalam.
Atlet muda lawan pedang negara, Joshua Koh tidak menyangka penampilannya kali kedua pada temasya dwitahunan itu membuahkan hasil apabila merangkul pingat emas selepas pulang hampa dari Korat, empat tahun lalu.

Ia juga menamatkan kemarau 22 tahun kilauan pingat emas skuad lawan pedang negara dengan kali terakhir dimenangi Lim Teng Piao dalam acara foil individu lelaki pada temasya 1989 di Kuala Lumpur.
Joshua, 21, atlet berasal dari Kuala Lumpur, menundukkan lawannya dari Indonesia, Mohd Herullah 12-6 pada perlawanan akhir semalam.

Namun, kemenangan Joshua turut dibantu oleh lawannya, Herullah yang mengalami kecederaan sebelum turun ke gelanggang bagi pertembungan akhir itu.

Herullah yang ketinggalan 6-12 dan kelihatan tidak mampu untuk mengejar, terpaksa melupakan pingat emas apabila menarik diri ketika kecederaan lututnya makin bertambah buruk.

“Sudah tentu saya amat gembira kerana ini pingat emas sulung saya pada peringkat antarabangsa. Saya bersyukur kepada Tuhan kerana usaha keras saya selama ini membuahkan hasil,” katanya yang dilatih Oleg Thikomolov.

“Kemenangan ini juga ditujukan kepada keluarga yang banyak memberi perangsang dan galakan kepada saya selama saya berkecimpung dalam sukan ini.

“Kini saya akan mencuba untuk menambah pingat emas dalam acara epee berpasukan Rabu ini,” katanya yang akan berganding dengan Mohamad Roslan Mohamed, Noor Nashriq Adli Noor Jali dan Hasmie Sohaini dalam acara berpasukan.

No comments:

Post a Comment