Monday 21 November 2011

Jeremy janji kejutan (22/11/2011)

RAMALAN cuaca hujan sepanjang minggu ini memberi sedikit keyakinan kepada pelumba negara, Jeremy Koo di Kejohanan Piala Monsun yang bermula hari ini di Pulau Duyong.
Jurumudi pasukan Abdullah Chan - Koo Racing itu berkata, mungkin itu sahajalah kelebihan yang ada berbanding pelumba kapal layar bertaraf antarabangsa yang menyertai sirkit akhir Siri Jelajah Dunia (WMRT).

Kata pelayar berusia 30 tahun itu, hujan lebat, angin kencang yang bertiup tidak tentu arah dan arus yang deras akan menyukarkan pengendalian kapal layar.
“Namun saya dan rakan sepasukan semuanya orang Malaysia yang sudah biasa dengan keadaan musim monsun dan bagi kami, belayar dalam cuaca buruk tidak terlalu menyukarkan,” kata pemenang pertandingan kelayakan Piala Monsun peringkat kebangsaan bulan lalu.

Seorang pelumba yang tidak gemar dengan hujan ialah Phil Robertson yang mewakili Pasukan Waka Racing.

“Namun sebagai pelumba profesional saya datang ke sini untuk memenangi Piala Monsun dan akan melakukan yang terbaik walau dalam apa keadaan cuaca sekalipun.
“Tambahan pula, pasukan kami pernah menang dua kali di Pulau Duyong dalam pertandingan kelayakan Piala Monsun peringkat Asia pada 2009 dan 2010,” katanya.

Sementara itu, pendahulu siri jelajah, Ian Williams yang mewakili pasukan GAC Pindar tidak terlalu memikirkan soal cuaca Pualu Duyong kerana mahu kekal fokus kepada usahanya menjadi juara dunia buat kali ketiga.
Pelumba dari Britain itu kini memiliki 106 mata, enam mata melebihi jurumudi Bruni Racing, Francesco Bruni dari Itali, dan 6.2 mata di depan pelumba Australia, Torvar Mirsky yang mengemudi pasukan Wave Muscat. “Saya sudah berlumba di sini sejak bermulanya Piala Monsun tujuh tahun lalu dan saya yakin mampu menumpaskan lawan walau dalam apa keadaan sekalipun,” katanya.

No comments:

Post a Comment