Saturday 12 November 2011

Jangan biar atlet ‘mangsa’ sasaran (13/11/2011)

MAMPUKAH kontinjen negara diketuai Datuk Naim Mohamad (gambar) melepasi tiga sasaran berbeza pada temasya Sukan Sea ke-26 Jakarta-Palembang bermula secara rasmi Jumaat ini?
Majlis Sukan Negara (MSN) tampil dengan idea dan analisis yang dipersoalkan banyak pihak apabila sekadar berani menyatakan boleh mengumpul 40 hingga 45 pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pula agak berani dengan angka 50 hingga 55 namun yang paling berani adalah pengurus pasukan setiap 39 jenis acara sukan yang akan disertai kontinjen negara apabila ramalan dan harapan mereka mencetus angka 60 emas.
Angka yang dikeluarkan MSN menjadi persoalan kerana berbanding Laos dua tahun lalu, kontinjen kali ini lebih besar dan menyertai lebih banyak acara.

Di Vientiane, Malaysia membawa pulang 40 pingat emas, 40 perak dan 59 gangsa untuk menduduki tangga keempat keseluruhan dengan penyertaan dalam 24 jenis sukan membabitkan 498 atlet.

Kali ini, angkanya lebih besar lagi apabila 872 atlet bakal bersaing dalam 39 jenis sukan.

Benarkah MSN sudah mengkaji secara mendalam dengan mengambil kira pelbagai faktor sebelum tampil dengan angka mereka? Mungkin ada benarnya jika sesetengah pihak menganggap MSN 'mengambil langkah selamat' dengan mensasarkan angka yang lebih rendah yang lebih mudah untuk dicapai.

Lantaran jika atlet kontinjen negara berjaya membawa pulang 60 pingat emas, 15 emas tambahan itu boleh dikira sebagai bonus dan melegakan banyak pihak termasuk MSN.

Emas yang mereka sasarkan adalah menerusi terjun (enam), berbasikal trek (lima), renang, memanah dan olahraga (empat), renang berirama, menembak dan bowling (tiga) dan masing-masing satu daripada bola sepak, pencak silat, pelayaran, taekwondo, karate, wushu dan gimnastik.

Di Vientiane, kontinjen negara pulang dengan sembilan emas daripada renang, terjun dan olahraga (enam), karate (lima), pencak silat (empat), wushu (tiga), badminton dan tinju (dua) dan masing-masing satu daripada bola sepak, memanah dan taekwondo.

Di sebalik semua sasaran berbeza itu, kini tiba masanya buat atlet yang bakal menggalas tanggungjawab diberikan, menghasilkan yang terbaik terutamanya kalungan pingat emas bukannya sekadar memecah rekod peribadi atau rekod kebangsaan tetapi gagal menuai sebarang pingat.

Ketika ganjaran bagi pemenang pingat emas dinaikkan dua kali ganda kepada RM10,000, atlet harus menjadikannya sebagai rangsangan untuk tidak menghampakan rakyat Malaysia yang pasti teruja dan melekat di kaca televisyen di rumah masing-masing menonton perkembangan Sukan Sea.

No comments:

Post a Comment