Wednesday, 23 November 2011

‘Hilang tumpuan’ (24.11.2011)

PENGENDALI skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee terpaksa menelan hakikat persembahan malam tadi adalah yang terbaik mampu dipamerkan anak buahnya yang keletihan.
Faktor keletihan pada separuh masa kedua jelas mengganggu tumpuan pemain sehingga melepaskan dua gol kepada lawan walaupun beraksi dengan baik pada 45 minit awal. “Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama, namun pemain kepenatan selepas itu. Apabila anda membuat kesilapan terutamanya menentang pasukan dari Timur Tengah, anda akan dihukum.

“Saya ada memberitahu pemain dalam sesi video, kekuatan lawan adalah hantaran jarak jauh dan kita berjaya mengawalnya dengan bagus pada awalnya namun hilang tumpuan selepas itu yang mungkin disebabkan keletihan.
“Malah untuk perlawanan ini saya kehilangan beberapa tonggak utama dengan terbaru pagi tadi (semalam) apabila pertahanan tengah, Mohd Fadhli Shas mengalami demam panas,” kata pengendali kelahiran Melaka itu.

Beliau bagaimanapun tetap memuji beberapa pemain seperti Wan Zack Haikal Wan Nor yang sudah hampir dua bulan tidak beraksi dengan mempamerkan persembahan bertenaga sepanjang perlawanan.

“Saya turut berterima kasih kepada peminat yang kekal memberikan sokongan dan akan membalasnya pada perlawanan menentang Bahrain, Ahad ini selain berusaha untuk menduduki tempat kedua kumpulan.
“Saya akan mendapat kembali khidmat Mohd Fadhli, Ifran Fazail dan Syahrul Azwari Ibrahim untuk perlawanan Ahad ini, jadi kami akan memberikan yang terbaik,” katanya.

Jaringan yang dinanti-nantikan akhirnya muncul pada minit ke-51 namun gawang Khairul Fahmi Che Mat yang bergegar dengan tandukan dalam kotak penalti oleh pemain lawan, Solaiman Solaiman.
Situasi terbabit menyebabkan barisan pemain muda negara semakin hilang arah apabila gagal merencanakan gerakan dengan sempurna selain mudah kehilangan bola yang mungkin turut dipengaruhi faktor keletihan.

Mujur kecekapan Khairul Fahmi menafikan beberapa lawan yang semakin ‘menggila’ menyerang kubu negara sehinggalah pada minit ke-87 apabila pemain gantian, Nassouh Nakkdahli merembat kencang untuk gol kedua Syria.

Kekalahan 0-2 itu adalah kedua buat skuad Olimpik negara selepas kecundang dengan jaringan yang sama kepada Jepun, September lalu.

No comments:

Post a Comment